Interlok: Siri aduan polis dibuat, NGO mahu bangkit di Tenang

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima) hari ini membuat aduan polis hampir di seluruh negara mendakwa novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menghina masyarakat India negara ini.

Susulan aduan polis itu beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan India bercadang mahu membawa isu berkenaan ke Tenang dengan membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil jika kerajaan tidak menarik balik novel itu dengan segera.

Kempen pilihan raya kecil Tenang bermula semalam dengan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Presiden Prima Dr V Suppiah berkata ahli persekutuan itu membuat laporan polis di ibu negara, Pulau Pinang, Kelantan dan Melaka serentak tengah hari tadi.

“Kami meminta agar polis menyiasat kandungan novel yang didapati menghina kaum India,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Malah kata beliau, sekitar 14 orang pengokut Prima juga ditahan di Tasek Gelugor hari ini ketika hendak membuat laporan polis.

Prima juga sebelum ini mendesak supaya novel yang kontroversial buat masa sekarang itu ditarik balik daripada digunakan sebagai buku teks sastera Tingkatan Lima.

Dalam pada itu, bekas presidennya AP Raja Retinam pula berkata, pihkanya akan turun ke Tenang untuk berkempen bagi calon PAS-Pakatan Rakyat Rabu ini sekiranya kerajaan tidak membuat keputusan menarik balik novel berkenaan.

“Nampaknya, Menteri Pelajaran dan Kabinet enggan membuat keputusan supaya Interlok ditarik balik... kerajaan tidak menghormati sensitiviti kaum India walaupun ada desakan agar ia ditarik balik, novel yang tidak sesuai untuk pelajar sekolah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas pendirian MIC mengenai isu itu hari ini.

MIC mahu Kementerian Pelajaran menghormati pendirian wakilnya yang menggesa agar Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Presidennya Datuk G Palanivel berkata, kesemua tujuh ahli panelnya pada pertemuan dengan Kementerian Pelajaran Selasa lalu telah bersetuju bahawa novel kontroversial itu wajar ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, polis menahan sembilan orang termasuk lima wanita yang ingkar dengan arahan agar bersurai, ketika berkumpul secara haram di Taman Desa Puri, Tasek Gelugor hari ini, bagi membantah penggunaan novel Interlok sebagai teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 42 tahun itu adalah antara kira-kira 20 orang yang berkumpul sejak pukul 10 pagi sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Sembilan orang ini ditahan kerana ingkar dengan arahan supaya bersurai dan telah dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini untuk diambil keterangan,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Illias kepada Bernama.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis juga turut merampas beberapa keping poster yang dibawa kumpulan penunjuk perasaan itu yang dipercayai penduduk kawasan tersebut, katanya.

Semalam, DAP juga berkata ia akan membawa kontroversi novel sastera Interlok ke medan pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang mempunyai 1,780 pengundi India jika kerajaan enggan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Naib pengerusinya M. Kulasegaran juga mengetepikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pertemuan Selasa lalu antara wakil MIC, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain berakhir dengan konsensus bahawa penggunaan novel itu oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima tidak berniat mahu menghina kaum India.

“Penjelasan sedemikian atau hujah itu sebenarnya mengabaikan satu perkara penting di mana tiada seorang pun mempersoalkan niat penulis,” kata Kulasegaran.

No comments

Powered by Blogger.