Polis Tahan Sembilan Orang Buat Demostrasi Bantah Interlok

TASEK GELUGOR, 23 Jan (Bernama) -- Polis menahan sembilan orang termasuk lima wanita yang ingkar dengan arahan agar bersurai, ketika berkumpul secara haram di Taman Desa Puri di sini Ahad bagi membantah penggunaan novel Interlok sebagai teks sastera untuk pelajar Tingkatan Lima.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 42 tahun itu adalah antara kira-kira 20 orang yang berkumpul sejak pukul 10 pagi sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Sembilan orang ini ditahan kerana ingkar dengan arahan supaya bersurai dan telah dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini untuk diambil keterangan," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Illias kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis juga turut merampas beberapa keping poster yang dibawa kumpulan penunjuk perasaan itu yang dipercayai penduduk kawasan tersebut, katanya.

No comments

Powered by Blogger.