Jangan politikkan bantuan kerajaan negeri

Mohamad Abd Rahman

SELAYANG, 25 Jan - Sumbangan buku yang diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak harus dipolitikkan kerana tujuan bantuan itu adalah bagi membantu ibu bapa mengurangkan beban ketika menghadapi sesi persekolahan baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman, beliau menerima aduan daripada ibu bapa yang pihak sekolah di sekitar Selayang melarang pelajarnya menggunakan buku sumbangan terbabit atas alasan yang dianggap tidak munasabah.

“Sekolah rendah dan sekolah menengah di Taman Selayang, guru-gurunya melarang murid-murid mereka daripada menggunakan buku yang diberi.

“Saya rasa kalau sebab tidak boleh tengok lambang negeri Selangor, tampallah lambang tersebut, tetapi jangan politikkan… kerana mangsanya anak-anak yang hendak belajar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sumbangan yang diberi hanya kepada golongan tertentu dan dipilih berdasarkan kelayakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri, antaranya mestilah pendapatan ibu bapa kurang daripada RM1,500, ibu tunggal dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Kalau ada yang mengatakan pemberian buku ini merupakan satu agenda politik, maka saya nafikan sebab bantuann ini bertujuan meringankan beban kepada ibu bapa, lagipun bukan semua dapat bantuan ini, hanya orang miskin dan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM650 ribu bagi membekalkan lebih sejuta naskhah kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri (Dun), termasuk kawasan parlimen tanpa mengira parti politik kepada pelajar kurang berkemampuan.

Difahamkan setiap pelajar menerima 20 buah buku latihan untuk digunakan pada sesi persekolahan yang baru 3 November lalu.

No comments

Powered by Blogger.