Khalid Ibrahim : Perancangan rapi jadikan Daerah Kuala Selangor maju

IJOK, 1 Jan – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perancangan menjadikan Daerah Kuala Selangor sebagai daerah yang maju dengan pembangunan yang rapi dan terancang.

Menurut Tan Sri Khalid, dijangka seramai 20 ribu penduduk baru akan mendiami daerah yang sebelum ini dikenali sebagai daerah yang agak mundur walaupun dua Menteri Besar sebelum ini berasal dari daerah ini.

Khalid turut menyatakan betapa beliau sedang berusaha menarik minat pelabur dan pekilang bagi menyediakan pekerjaan kepada populasi baru nanti.

“Ijok dan Kuala Selangor adalah antara tempat pembangunan yang dirancang dengan rapi. Pihak setiausaha pembangunan dan ahli-ahli majlis sangat sibuk sebab permohonan untuk membangunkan kawasan di Kuala Selangor ini bukannya sedikit tapi banyak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjalankan acara rasmi pertama beliau pada tahun 2011 ini dengan beramah mesra bersama pengundi beliau di Ijok.

Khalid Ibrahim ditemani oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menghabiskan hampir sepanjang hari di samping merasmikan Karnival Rakyat 2011 yang diadakan di Taman Sejati, Ijok.

Aktiviti yang dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) DUN Ijok, Jawatankuasa Kemajuan Pertanian (JKP) Desa Coalfield dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Daerah Kuala Selangor ini menganjurkan pelbagai program dilakukan seperti pertandingan memasak, pertandingan gasing, selain persembahan kebudayaan seperti permainan wau dan tarian singa.

Beliau turut turun padang dan menyertai pelbagai aktiviti seperti bermain gasing, bola jaring dan melawat peserta dan hadirin Hari Karnival ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan Krismas berbentuk beras dan barangan makanan kepada keluarga kurang bernasib baik serta bantuan persekolahan kepada anak-anak mereka berupa beg sekolah dan buku tulis dalam menempuh sesi persekolahan yang baru.

Dalam ucapan perasmian juga, Khalid menyatakan betapa kepentingan menjaga pendidikan anak-anak bagi memastikan mereka dapat membesar sebagai seorang yang berjaya.

“Harap anak-anak kita dijaga dengan baik dari segi persekolahan dan pendidikan. Kita perlu menjaga mereka kerana inilah pelaburan paling penting untuk keluarga. Dan saya sendiri akan mencari jalan bagaimana kita boleh menolong membangun pendidikan di negeri Selangor,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan dengan pelaksanaan program untuk rakyat ini yang dilangsungkan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama serta menganggapnya sebagai ‘cara pakatan rakyat meraikan rakyat.’

“Kalau kita lihat keliling kita. Tiada bezanya orang Melayu, orang India dan orang Cina semua sinsing lengan berganding bahu untuk menjayakan program rakyat,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.