MTUC: Jangan syok sendiri anggap PKR sudah kubur, kata MP Kuala Langat

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 1 Jan — Jangan cepat membuat andaian pengaruh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah “berakhir dan berkubur” hanya kerana keputusan pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Khamis lalu, kata Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Wakil rakyat PKR itu juga memberi amaran barisan calon pimpinan beliau dan Syed Shahir Syed Mohamud yang tewas pemilihan presiden akan kembali ke gelanggang persaingan pada 2013.

“Orang yang berpandangan pengaruh PKR sudah hilang hanya kerana tewas dalam pemilihan MTUC adalah mereka golongan yang syok sendiri,” kata beliau yang tewas kali kedua berturut-turut dalam percubaan bersaing jawatan setiausaha agung kali ini.

Pada 2007 beliau tewas dengan perbezaan empat undi dalam saingan satu lawan satu dengan G Rajasekaran.

Rajasekaran yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini sebelum ini mengharapkan MTUC tidak akan diketuai oleh pemegang jawatan yang aktif berpolitik.

Kali ini Abdullah Sani tewas di tangan Abdul Halim Mansor yang turut berhadapan dengan cabaran J Solomon.

Ekoran andaian sedemikian, kata Abdullah Sani, beliau mahu melihat prestasi barisan Halim selaku setiausaha agung dan Khalid Atan, presiden baru, yang dilihat membebaskan MTUC daripada pengaruh politik dengan keputusan pemilihan terbaru.

Khalid mengatasi Syed Shahir yang gagal mempertahankan kerusi presiden buat penggal ketiga. Khalid, sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC, memperoleh 255 undi manakala Syed Shahir pula 213 undi. Halim, timbalan setiausaha agung selama 12 tahun, menerima 188 undi, Solomon 117 undi manakala Abdullah Sani 165 undi.

“Dari segi undi, undi saya dan Solomon mengatas jumlah undi yang diterima Halim. “Jadi, Halim dan pasukannya tidak memperoleh undi mutlak untuk mengatakan bahawa MTUC memperoleh pemimpin yang bebas politik sepenuhnya dan beliau ada sokongan besar dalam MTUC,” kata Abdullah Sani.

Lagi pun, kata Abdullah Sani, jawatan timbalan setiausaha agung dan setiausaha kewangan pula dimenangi oleh calon dari pasukan mereka.

“Ada empat calon kami dalam barisan kepimpinan baru, jadi mereka tidak harus menganggap bahawa mereka mendapat keputusan bersih dan sudah menganggap bahawa MTUC sudah menghapuskan pengaruh PKR dalam MTUC,” kata beliau.

Abdullah Sani juga berkata, tidak wajar untuk membuat ukuran pengaruh PKR sudah berakhir dalam arena politik kerana barisan kepimpinan dipilih oleh sekitar 500 perwakilan dengan MTUC diwakili kira-kira 230 kesatuan gabungan yang mewakili 500,000 ahli.

“Saya tewas dengan beza 23 undi daripada 475 orang yang mengundi... apakah ia boleh menggambarkan sokongan sebenar Halim dan pasukan Khalid? Saya rasa tidak.

“Di luar sana, ada enam juta pekerja yang memerlukan bantuan dan kebajikan mereka dilindungi, di mana PKR menerusi Pakatan Rakyat akan terus menunaikan janji yang dibuat, dan kami yakin kaum pekerja akan menyokong kami... begitu juga dengan kaum guru,” kata beliau yang kelihatan merujuk kepada kandungan Buku Jingga dan Program 100 Hari yang diumumkan.

“Saya nak tanya Rajasekaran, siapa yang mendesak kerajaan akan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja di Parlimen? Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan pampasan kematian dan hilang upaya KWSP dikurangkan daripada RM30,000 kepada RM2,500 10 tahun lalu? Ini berlaku ketika era Rajasekaran dan Datuk Zainal Rampak (ketika itu presiden).

“Jadi mengapa sekarang mengatakan hanya kerana kami pemimpin PKR dan Pakatan, kebajikan kaum pekerja akan terjejas?” kata beliau lagi.

“Semua ini tidak masuk akal,” kata wakil rakyat penggal pertama ini. Sehubungan itu Abdullah Sani berkata, beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengerusi BN agar mengadakan pilihan raya umum segera jika merasakan pengaruh PKR dan Pakatan Rakyat sudah berakhir hanya kerana keputusan pemilihan MTUC kali ini.

“Jika BN menganggap pengaruh sudah berakhir dan merasakan ia perkembangan yang memihak mereka, saya mencabar pentadbiran Najib bubar Parlimen sekarang dan adakan pilihan raya segera,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.