NUJ : Gesa tindakan tegas atas Pengarang Utusan, cetus perkauman

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang Utusan Malaysia kerana mencetuskan ketegangan perkauman dengan sering memainkan isu-isu yang membakar sentimen kaum Melayu dan bukan Melayu.

Presidennya, Hata Wahari (Gambar), menegaskan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan sedemikian hanya menzahirkan mereka turut terlibat dalam agenda mencetuskan pertikaian perkauman yang didalangi sebuah akhbar yang boleh dianggap sebagai rasis dan tidak bermaruah.

Kenyataan Hata itu, dalam perutusan sempena Tahun Baru 2011, adalah yang paling lantang dalam sejarah NUJ dan mencerminkan kekeciwaan umum wartawan-wartawan terhadap majikan media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia, kerana dikongkong dan dikawal mengikut telunjuk pemerintah.

Utusan Malaysia pernah mencapai edaran 350,000 sehari tetapi kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan dengan memutarbelitkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini, kata Hatta. Sehingga Jun tahun lalu, Utusan hanya meraih jualan sekitar 170,000 naskah sehari.

Hata menyifatkan Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang lain di Utusan Malaysia sebagai tidak mempunyai prinsip, harga diri dan maruah kerana hanya berminat mempertahankan kedudukan dengan gaji puluhan ribu ringgit mereka.

Amalan sedemikian menyebabkan mereka sentiasa tunduk kepada “tuan-tuan politik yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka dengan menggunakan Utusan Malaysia sebagai alat propaganda,” tegas Hatta.

Sehubungan itu, NUJ Malaysia menyeru ketua pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia kembali kepada matlamat utama penubuhan akhbar itu pada awal penubuhannya.

“Akhbar arus perdana agar tidak menjadi alat propaganda kerajaan, parti politik dan individu tertentu untuk kepentingan peribadi,” katanya yang juga wartawan Utusan Malaysia.

Dalam perutusan itu, Hata mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pengamal media di negara ini dan “diharapkan tahun ini kita akan dapat menikmati kebebasan media yang sebenar bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang benar dan seimbang.”

Beliau berharap akhbar seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star beliau kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Kejatuhan edaran akhbar media perdana seperti yang di umumkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) jelas membuktikan bahawa orang ramai terlalu muak dengan isi yang disajikan di dalam akhbar-akhbar tersebut yang bukan sahaja tidak membina minda tetapi penuh dengan propaganda buruk. Akhbar-akhbar ini boleh dikategorikan sebagai akhbar murahan tidak mempunyai harga diri serta maruah kerana para pengarang mengenepikan serta menguburkan nilai-nilai murni tujuan asal akhbar itu diterbitkan,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.