Pemimpin Umno berbeza pendirian berhubung kuasa Sultan

SHAH ALAM, 5 Jan – Pemimpin Umno kini bercanggah pendapat berkenaan hasrat Kerajaan Negeri Selangor yang mahu meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa Sultan dalam soal perlantikan tiga jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu.

Laporan akhbar semalam melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang (BN), Abdul Shukur Idrus telah mengatakan Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan peruntukan mengembalikan kuasa kepada Sultan dan mereka akan memberikan sokongan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak perlu dipinda kerana ia telah diamalkan sekian lama dan tidak timbul sebarang masalah kepada kerajaan terdahulu terhadap pelantikan pegawai tertinggi kerajaan negeri yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Mengulas isu ini, Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, isu dua pertiga sokongan majoriti tidak menjadi isu besar kerana pindaan tersebut mendapat sokongan daripada Adun-Adun Umno-BN.

Mengikut kenyataan Adun Kuang itu, Teng menjangka Pakatan Rakyat (Pakatan) bakal mendapat sokongan seratus peratus daripada semua Adun termasuk pihak pembangkang.

“Kalau begitu, kita mungkin boleh dapat sokongan seratus peratus.

“Berhubung isu dua pertiga majoriti yang diperlukan itu, jangan anggap oleh kerana Pakatan hanya ada 35 kerusi, kita tidak ada jumlah(majoriti) tersebut,” katanya dalam sidang media semalam.

Dalam sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sr Khalid Ibrahim dan Exco itu, beliau berkata, keputusan pindaan itu harus ditunggu sehingga pindaan rang undang-undang itu dibentangkan pada persidangan di dewan yang akan datang.

Berhubung kenyataan bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang mendakwa pindaan tidak boleh dilakukan kerana kerajaan yang ada sekarang tidak ada majoriti 2/3.

Teng berkata, kenyataan Khir bukanlah merupakan perkara yang serius.

“Beliau bukan lagi Ketua Pembangkang , jadi saya tidak ambil serius kenyataan beliau.

“Kita perlukan orang yang mengambil bahagian dalam Dewan Negeri.

“Kalau beliau masih Ketua Pembangkang, kita akan memandang berat kenyataan tersebut… tetapi masalahnya beliau bukan lagi,” ujar Teng.

No comments

Powered by Blogger.