Isu SUK: Bukan halangan untuk kerajaan berkhidmat kepada rakyat

PETALING JAYA, 5 Jan – Isu percanggahan berkenaan perlantikan Setiausaha Negeri Selangor (SUK), Datuk Mohd Khusrin Munawi tidak akan menjadi halangan untuk kerajaan negeri terus berkhidmat kepada rakyat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Perdana Komuniti Mampan dan Anuerah Pemimpin Masyarakat Berjasa Petaling Jaya di Dewan Banquet MBPJ malam tadi berkata, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Saya rasa sudah tentulah tuan-tuan adakalanya sibuk mendengar berita-berita tentang ketidaksamaan antara kerajaan negeri, Kerajaan Pusat, ada juga istana, ada juga pegawai kerajaan tetapi ini tidak akan menyekat kita untuk membetulkan, mencantikkan, mengindahkan bandar raya yang kita duduki ini,” jelas beliau kepada kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada wakil persatuan penduduk dan rukun tetangga seluruh Petaling Jaya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan negeri dan para ahli majlis dapat bekerja keras menyampaikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat kerana apa yang penting adalah penyampaian perkhidmatan dan bukannya sesi perbincangan.

“Saya harap kita akan terus bekerja keras dan saya sendiri merasakan cabaran ini sangat penting sebab rakyat tidak pentingkan berbincang, tetapi rakyat pentingkan hasil,” tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu bahawa jumlah kutipan dana hasil MBPJ merupakan antara yang tertinggi dibandingkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara maka akaun MBPJ juga perlu diselaraskan agar tidak mempunyai apa-apa percanggahan.

“Kita juga mesti menunjukkan akaun Bandaraya Petaling Jaya ini dapat dipertahankan kerana ia akan menjadi antara akaun yang akan diteliti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara, sebab bandar raya Petaling Jaya antara bandar raya yang mempunyai kutipan yang tertinggi dibandingkan dengan bandar raya seluruh negara,” tegas beliau.

Beliau seterusnya berkata, jumlah kutipan ini juga dipercayai lebih tinggi daripada jumlah kutipan dana hasil beberapa negeri di negara ini.

“Saya percaya bandar raya Petaling Jaya mempunyai kutipan pendapatan melebihi negeri seperti Perlis, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Oleh sebab itulah, bandar raya Petaling Jaya akan diteliti tentang penggunaan dana dan juga di samping itu bagaimana dia mempunyai usaha untuk mempertingkatkannya,” kata beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.