UG Umno-PAS: Uji setia kawan Kepala Batas dan saingan Tenang

Oleh G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra

Nik Aziz enggan menyatakan isu yang dibincang dalam pertemuan tersebut. — gambar fail
ANALISIS, 5 Jan — Persoalan yang masih dicari-cari jawapan dan ramai menantikan — mengapa pertemuan lima personaliti negara termasuk kehadiran Yang di-Pertuan Agong sendiri diadakan selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang — di mana pemimpin-pemimpin PAS menjanjikan berdiri bersama Pakatan Rakyat.

Malah konvensyen itu juga mencuri perhatian apabila Pengerusi DAP Karpal Singh sendiri menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu negara Islam.

Detik itu dilihat sebagai kemuncak pertemuan 19 Disember lalu. Ia pendirian seumpama itu di pihak Karpal. Pada perhimpunan yang sama Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga, sebahagian asas manifesto dan Program 100 Hari.

Ia disusuli dengan pertemuan UG 24 Disember di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

Malah pertemuan ini juga diadakan ketika Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) untuk turun ke selatan Semenanjung untuk bersaing di gelanggang pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama dalam dua dekad ini.

Walaupun semalam, Nik Aziz enggan mendedahkan butiran isu yang dibincangkan, beberapa penganalisis politik berpendapat pertemuan beliau dan Datuk Seri Najib Razak 24 Disember lalu akan menjejaskan hubungan antara gabungan parti komponen BN dan Pakatan Rakyat.

Namun, soal itu bergantung kepada isu-isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hadi dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Pertemuan tersebut diadakan sempena majlis santapan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan usaha yang digerakkan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kalau kita lihat sekurang-kurangnya kedua-dua pemimpin ini boleh bertemu yang boleh membawa kepada perbincangan berterusan ke atas isu-isu tertentu.

“Ia mungkin boleh beri kesan besar kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat jika wujud perbincangan bersifat politik yang boleh membawa kesan kepada hubungan dalam kedua-dua gabungan parti itu.

“Tapi, jika ia menjurus kepada hanya isu tertentu seperti perpaduan Melayu atau agama, maka ia tidak akan bagi kesan terhadap hubungan kedua-dua parti ini,” demikian pandangan pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian.

Penganalisis ini berhujah bahawa tindakan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan enggan mendedahkan kandungan pertemuan itu akan memberikan persespi di kalangan pemimpin politik dan juga rakyat di negara ini.

Justeru beliau mencadangkan supaya Nik Aziz mendedahkan perkara itu bagi mengelakkan sebarang spekulasi lain.

“Persepsi sudah pasti berlaku kerana kerajaan perpaduan adalah usaha yang cuba dilakukan namun dinafikan Nik Aziz.

“Masing-masing tidak mahu beritahu apa yang dibincangkan, jadi isu kerajaan perpaduan akan jadi persepsi rakyat. Sejauh mana kerajaan perpaduan boleh dicapai bergantung kepada kedua-dua pemimpin ini.

“Sepatutnya mereka beritahu apa yang dibincangkan supaya spekulasi ini dihentikan,” katanya.

Membicarakan isu yang sama, pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menegaskan pertemuan itu mungkin membincangkan dua isu penting iaitu kerajaan perpaduan dan juga royalti minyak.

“Saya rasa mungkin pertemuan yang berlaku lebih kepada isu kerajaan perpaduan untuk merungkai masalah yang berlaku yang mana PAS curiga terhadap Umno-BN.

“Kalau kita lihat Nik Aziz menolak cadangan itu namun ada gerakan dalam PAS yang mahukan kerajaan perpaduan, yang tidak mahu hanya Nik Aziz.

“Jadi ia mungkin membincangkan isu kerajaan perpaduan dan mungkin royalti yang mana Nik Aziz membawa tuntutan. Boleh ada dua isu, kerajaan perpaduan dan royalti,” katanya sambil menambah, ia akan menjadi spekulasi kerana Nik Aziz enggan menjelaskan maksud sebenar pertemuan itu.

Sebagaimana diperkatakan banyak pihak termasuk di kalangan pemimpin PAS sendiri, Azizuddin juga menegaskan, jika pertemuan membabitkan pemimpin tertinggi parti ia bermakna ada isu penting yang dibincangkan.

“Sudah tentu mereka tidak akan membincangkan perkembangan Piala Suzuki kan?” kata seorang pemimpin PAS.

“Tapi ia tidak akan jadi perbincangan kosong bila ada pertemuan dua pemimpin utama, maka ia ada isu utama yang dibincangkan. Kalau kita lihat isu utama di Kelantan adalah royalti dan Umno pula mahukan kerajaan perpaduan,” kata Azizuddin lagi.

Umno memerlukan PAS untuk mewujudkan situasi politik orang Melayu bersatu. Agenda kerajaan perpaduan itu amat penting tapi Nik Aziz tolak kerana bimbang ditikam dari belakang seperti yang berlaku dulu.

“Mungkin ada kompromi dalam isu ini yang mana Najib beri royalti dan Nik Aziz setuju kerajaan perpaduan. Tapi kita tidak tahu apa keputusan yang dicapai dalam pertemuan itu,” katanya.

Kerajaan negeri Kelantan membawa isu royalti minyak ke mahkamah akhir Ogos lalu.

Malah, terdapat pandangan yang berbeza dalam isu ini.

Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat menegaskan kesudian Nik Aziz bertemu Najib memberikan satu gambaran positif dalam hubungan orang Melayu.

“Beliau (Nik Aziz) tidak nyatakan apa yang dibincangkan tapi dari segi politik pertemuan yang berlaku akan beri pelbagai persepsi dan kesudian beliau bertemu Najib adalah tanda yang positif dalam hubungan perpaduan orang Melayu.

“Cuma apa yang dibincangkan kita tidak boleh nak buat spekluasi tapi pertemuan itu adalah satu ekspresi kepada semangat persaudaraan walaupun berbeza idealogi politik,” katanya.

Beliau juga berpendapat tindakan Nik Aziz itu adalah satu keputusan tepat walaupun tidak menyatakan kandungan sebenar pertemuan itu.

“Sebenarnya usaha kerajaan perpaduan dapat persepsi positif majoriti besar orang Melayu cuma macam mana ia akan berlaku kita tidak tahu,” katanya.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Ini lumrah politik.

“Apa yang dilakukan Nik Aziz adalah tindakan tepat walaupun tidak menyatakan maksud sebenar pertemuan itu. Mungkin ia adalah untuk mempertahankan apa yang dipegang beliau selama ini, kita tidak tahu tapi spekulasi tetap akan berlaku,” katanya.

Apapun pemimpin PAS sudah tampil dengan pendirian awal mereka walaupun masih belum memuaskan banyak pihak. Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin Umno?

Pemimpin-pemimpin PAS berpendapat bahawa yang terdesak memerlukan perundingan seumpama ini pemimpin-pemimpin Umno sendiri walaupun ada kumpulan dalam PAS sendiri yang cenderung ke arah itu.

Apakah Umno akan mendedahkannya ketika pertarungan pilihan raya kecil DUN Tenang yang kempennya akan bermula secara rasmi 22 Januari ini?

Sekurang-kurangnya Umno sudah memerangkap PAS yang akan meletakkan calonnya di Tenang mewakili Pakatan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.