Perjuangan memanjang berzaman-zaman

Oleh Abu Firdaus

Usia manusia hanya sekitar 70 hingga 80-an. Apakah yang boleh dicapai untuk perjuangan dalam jangka umur sedemikian? Memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan Islam, dan negara Islam? Bayangkan selepas menang pilihan raya, kalah balik. Ataupun apabila dapat menubuhkan kerajaan, tidak pula dapat mewujudkan kerajaan Islam. Apatah lagi dengan negara Islam. Untuk berbincang dan membahaskannya juga makan bertahun-tahun dan masih tidak berkesudahan.


Ataupun memang perjuangan adalah seperti ini, senyiasa berterusan dan tidak boleh ada detik yang disebut sebagai kemenangan mutlak. Yang ada hanyalah kemenangan bertahap atau sementara. Sedangkan kemenangan sebenarnya adalah pahala dan syurga yang diraih oleh seorang Muslimin

Kalau melihat sejarah perjuangan Islam pun, begitulah jadinya. Kalah dan menang. Kemudian kalah kembali. Ketika menang tetapi tidak dapat juga menerapkan pelaksanaan Islam. Atau penerapannya adalah tidak dapat sepenuhnya. Seperti menarik kain singkat. Diperbaiki terhadap sesuatu keadaan, tetapi terjejas pula terhadap keadaan lain.

Sebagai contoh, setelah Rasulullah SAW dapat mewujudkan kerajaan dan negara Islam di seluruh Hejaz dan kemudian dipermantapkan lagi oleh Khulafaurasyidin tetapi detik-detik perpecahan dan masalah umat Islam tersemai sejak dari awal lagi. Walaupun kemudiannya negara Islam menjadi sebuah empayar di bawah Khilafah Umayah, tetapi perpecahan yang melahirkan Sunnah wal Jamaah dan Syiah terus berlaku sehingga hari ini. Adakah ini kemenangan dalam kekalahan? Atau kekalahan dalam kemenangan?

Baru-baru ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan beberapa orang Melayu Syiah. Lihatlah betapa jauhnya kesan daripada sdesuatu yang berlaku dalam sejarah silam. Tangkapan itu pula berlaku dalam kwasan pilihan raya Gombak Setia yang melalui pilihan raya telah memilih PAS. Ia juga berlaku dalam negeri yang turut dimenangi oleh PAS bersama parti-parti sekutunya.

Sejak tahun 2008, PAS sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat mentadbir Selangor. Walaupun ia mentadbir Selangor sebagai komponen ketiga setelah Parti Keadilan Rakyat dan DAP tetapi Selangor boleh dianggap sebagai negeri PAS seperti mana juga Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Maknanya negeri-negeri ini boleh dianggap negeri Islam dengan adanya kerajaan Islam kerana kuasa yang ada PAS. Sama ada PAS dapat melaknsakan polisi parti atau tidak adalah soal lain. Itu melibatkan kebijaksanaan berpolitik – siasah syariah. Tetapi dari segi prinsip-prinsipnya itulah yang sebenarnya berlaku.

Dalam perjuangan politik Islam zaman ini, parti menjadi wadah bagi perjuangan. Di Malaysia, sesiapa yang mempercayai fahaman politik Islam, atau ideologi Islam, maka sokongan mereka mesti kepada PAS. Kemudian terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membawa ke mana hala tuju parti, tentunya dengan dokongan dan syura daripada ahli.

Sebab itu dalam parti, perbahasan dan pertukaran pendapat yang sihat perlu ada tetapi akhirnya tetap bersatu apabila keputusan telah dibuat. Sejak tahun 2008, apa yang berlaku pada Keadilan dan DAP harus menjadi contoh besar bagi PAS. Biarlah PAS menjadi tonggak kepada Pakatan Rakyat.

Dengan terus adanya PAS dalam Pakatan, maka gabungan parti ini walaupun ia tidak diketuai oleh PAS tetapi kehadiran parti Islam menjadikan pakatan ini sebuah gabungan organisasi Islami. Inilah yang banyak orang tiodak faham terutamanya kalangan Umno. Mereka sering menyebut mengapa kalau PAS buat sesuatu dianggap betul, tetapi kalau Umno melakukan perkara yang sama, ia pula dianggap tidak betul.

Itu perbezaanya antara Umno dan PAS. Walaupun kedua-duanya hanya parti politik, dan begitulah anggapan orang Umno terhadap partinya dan PAS, tetapi hakikatnya PAS berbeza. Ini kerana PAS berpegang kepada Islam. Apa saja keputusan yang dibuat PAS adalah hasil daripada syura para pemimpin menurut kefahaman mengenai agama, yang merupakan suatu perjuangan panjang berzaman-zaman.

Andai kata dahulu, biro agama Umno tidak keluar dari parti itu, maka Umno bolehlah dianggap sebuah parti Islam. Tetapi kesepakatan ulama Umno untuk keluar parti menyebabkan Umno tidak lagi mewakili aspirasi perjuangan Islam. Walaupun asasnya biro agama Umno bertindak demikian kerana menyokong kepimpinan Datuk Onn Jaafar.

Lihatlah ketika itu bagaimana ulama Umno menyokong polisi Datuk Onn supaya parti itu dibuka kepada orang bukan Melayu. Setelah mereka keluar Umno, maka perjuangan Islam dilanjutkan melalui PAS. Justeru sokongan mereka yang mendokong perjuangan Islam harus diberikan kepada PAS.

Sebelum PAS ditubuhkan, panji-panji perjuangan Islam dibawa oleh Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol. Ironinya mereka inilah yang dibimbangi oleh Datuk Onn ketika memimpin Umno dahulu: Berwasapadalah kepada orang dari gunung. Beliau merujuk kepada Hizbul Muslimin.

Hizbul Muslimin bergabung di dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Maka sewajarnya para pendokong perjuangan Islam pada zaman itu wajar memberikan sokongan kepada Hizbul Muslimin dan Putera. Tetapi kemudian apabila Hizbul Muslimin terbubar kerana pemimpin-pemimpinnya ditahan, wadah yang perlu dibeeri sokongan oleh pendokong Islam pada waktu itu adalah Umno. Ini kerana adanya biro agama dalam Umno, yang terdiri daripada para ulama.

Tetapi apabila PAS ditubuhkan dan kemudian dipimpin oleh Dr Burhanuddin, maka sokongan wajar diberikan kepada mereka pula. Apabila para pemimpin membuat keputusan untuk menyertai Barisan Nasional, maka wajarlah juga para pendokong perjuangan Islam memberikan gabungan parti pimpinan Tun Razak itu.

Setelah PAS dikeluarkan oleh Barisan Nasional di bawah kepimpinan Hussein Onn, para pendokong perjuangan Islam mesti tinggalkan Barisan dan tetap bersama PAS. Sikap inilah yang dilihat sebagai istiqamah kepada perjuangan Islam melalui parti politik. Ia bukan fanatik atau taksub tetapi kesedaran mengenai fahaman perjuangan Islam yang dipimpin di bawah kepimpinan ulama.

No comments

Powered by Blogger.