Perkasa juga gesa MCA mohon maaf isu bersalam calon PAS

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Perkasa menyokong desakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya presiden MCA agar memohon maaf kepada umat Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam — calon PAS dalam kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang berlangsung sekarang.

“(Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek diingatkan dalam kempen MCA menentang DAP agar berhati-hati apabila menyentuh hal atau perkara-perkara yang membabitkan Islam, apatah lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum Islam yang jelas,” kata Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan.

Katanya, menjadi tanda tanya kepada Perkasa sejak kebelakangan ini ada pihak yang kerap menyentuh sensitiviti orang Islam negara ini demi politik atau pun sengaja hendak menghina Islam.

“Apa pun alasannya, Perkasa beri amaran bahawa jangan sesekali mempolitikan Islam demi mendapatkan sokongan kaum bukan Islam kerana umat Islam dalam negara ini menerimanya sebagai satu penghinaan kepada kesucian Islam yang menjadi wajib kepada umat Islam menentang mereka,” kata beliau lagi.

Kata Syed Hassan, Perkasa akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini sekiranya penghinaan terhadap Islam terus berlaku.

Harussani menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddn Yassin menggesa MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri menegaskan, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya kecil itu.

“Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini,” katanya.

Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insider kelmarin, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari ketiga hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu Syed Hassan juga menyelar tindakan mantan perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam buku terbarunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going, menggesa umat Islam Singapura agar tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam.

“Nampaknya Kuan Yew senada dengan sesetengah pemimpin bukan Islam di negara ini. Kuan Yew sudah terlalu lama dalam politik yang pastinya dapat bezakan sesuatu isu itu sensitif atau tidak jika ingin disentuh.

“Perkasa tidak menganggap Kuan Yew seorang yang kurang faham bagaimana hendak menghormati sesuatu kaum yang berlainan agama dengannya. Perkasa menganggap Kuan Yew seorang tua yang sudah terlalu nyanyuk,” katanya.

Dalam nada menyindir, beliau memberitahu, Perkasa berharap pemimpin negara jiran itu cepat mencari pasangan hidup baru agar beliau tidak kesunyian kerana pelbagai kata-kata dikeluarkan oleh seorang ahli politik tua yang kesunyian selalunya merapu dan akan membuatkan sesetengah pihak rasa terhina.

“Malangnya orang Islam di Singapura hanya terpaksa menelan penghinaan dari mentor nyanyuk republik itu. Mereka tidak akan berani berarak di jalanan mengecam apa yang diperkatakan oleh Kuan Yew dalam terbaru bukunya itu.

“Dan, mengapa hanya Islam dikatakan menjadi masalah kepada Kuan Yew? Jawapannya ialah sikap prejudis dan perkauman yang menebal tidak pernah hilang dari hati busuk Kuan Yew terhadap umat Islam sejak dulu lagi,” katanya lagi.

Namun umat Islam di Malaysia katanya, akan mengajar Lee agar tidak lagi menghina ajaran Islam.

“Perkasa akan lakukan sesuatu dalam masa terdekat ini bagi membela penghinaan umat Islam di pulau yang kerajaannya mengharapkan belas ihsan negara jiran lain agar rakyatnya tidak kehausan air untuk terus hidup. Perjuangan mempertahankan kesucian Islam oleh umatnya tidak mengira sempadan negara,” katanya.

Lee dilaporkan menggesa umat Islam di republik itu supaya “tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam” bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

No comments

Powered by Blogger.