Atasi kepincangan sosial tanpa jemu

SHAH ALAM, 24 Jan – Dalam usaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kepincangan sosial hari ini, Exco Pendidikan dan Pembangunan Tinggi Modal Insan, Dr Halimah Ali ligat membentuk acuan agar masalah itu dapat diatasi dengan berkesan.

Bagi tujuan itu, beliau mengadakan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam (Jais) untuk mencari formula tentang bagaimana masalah kepincangan sosial boleh diatasi sebelum ia menular ke tahap yang lebih serius.

Antara perkara lain yang turut diketengahkan dalam program ini adalah konsep SPIES, iaitu hala tuju Spritual, Emosi, Intelektual, Fizikal dan Sosial.

“Kita cuba selamatkan mereka, kita hendak mereka sedar dan berhenti daripada bekerja di pub, begitu juga yang minum arak.

“Kita minta zakat bantu, selainnya kita cuba carikan kerja untuk mereka supaya anak mereka tidak membesar dengan sumber yang haram… bak kata hadis, daging yang tumbuh dari sumber haram, tempatnya layak di neraka,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang.

Menurut beliau lagi, perhubungan yang rapat dengan Tuhan dan alam sekitar adalah penentu kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

“Visi negeri Selangor ialah untuk jadikan Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan… itu visi dan misi kerajaan negeri, selain melestarikan kehidupan rakyat untuk kesejahteraan hubungan dengan Allah, manusia dan alam sekitar.

“Kita mahu rakyat Selangor mesra dengan Tuhan, manusia dan alam sekitar… jaga sungai, pokok, bukit jangan di botakkan kerana ini akan jadikan Selangor membangun dengan mampan dan anak-anak kita tak ada penyakit,” jelasnya.

Tambah Halimah lagi, beliau menyarankan kepada penduduk agar melakukan perubahan fizikal dan spiritual, manakala dari segi intelektual pula penduduk hendaklah bijak apabila berhubung sesama masyarakat dan bukan dipengaruhi oleh emosi semata.

Beliau berkata, dalam Program Hari Kesihatan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung atau JKKK Kg Delek, Klang dengan kerjasama pusat khidmat masyarakat Dun Selat Klang di Balai Raya Kg Delek, Ahad lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Shamsulbahri Mohamed Iksan selaku ketua kampung merangkap pengerusi Jkkk Kg Delek, Klang.

Antara aktiviti berlangsung ialah pemeriksaan gigi, rawatan kencing manis dan darah tinggi, kaunseling kesihatan dan juga gerai jualan.

Seramai 8 orang doktor dari persatuan doktor-doktor Islam Malaysia berkhidmat secara sukarela pada program tersebut.

No comments

Powered by Blogger.