Rasisme: Strategi Pemasaran Glokal?

Oleh Hafiz Zainuddin

Ia adalah menu harian kita setiap hari malah sebelum tidur pun kita akan disuapkan dengan "makanan percuma" ini. Seluruh rakyat Malaysia disajikan dengan afirmasi-afirmasi tertentu agar Barisan Nasional dapat terus berkuasa dan pimpinan mereka terus kaya.

Isu melibatkan perkauman atau rasisme adalah antara isu terbaik BN dalam strategi pemasaran mereka. "The best marketing strategy ever..." kononnya. Bagi mereka, setiap isu perkauman yang timbul adalah "realiti" yang dihadapi.


Penulis mengajak pembaca untuk melihat dan memahami "strategi pemasaran" ini dengan lebih jelas yang telah muncul akibat dasar penjajah British terdahulu diteruskan oleh legasi mereka BN.

Penjajahan British dan Gerakan Nasionalisme Kiri

Persekutuan Tanah Melayu pernah menjadi nadi keberlangsungan survival ekonomi penjajah. Bermula dengan penjajahan Portugis pada tahun 1511, Belanda, Jepun dan kemudiannya British. Penjajah datang dengan membawa misi, visi, pembangunan, pertumpahan darah dan sistem pemerintahan. Malah tidak dapat dinafikan sama sekali, sistem Raja Berpelembagaan yang digunapakai di Malaysia hari ini adalah sistem yang telah diperkenalkan British suatu ketika dahulu.

British amat gusar dengan kemunculan gerakan nasionalisme yang muncul sekitar tahun 1940-an. Gerakan nasionalisme ini wujud untuk membebaskan negara dari penjajahan. Ia telah menjadi sebuah fenomena di negara-negara jajahan British secara langsung mempengaruhi rakyat di negara ini (pada ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) untuk merdeka.

Ada aliran nasionalisme Melayu untuk membentuk negara "Melayu Raya" dan ada aliran yang ingin merdeka dan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara komunis. Walaupun wujud perbezaan ideologi dan manhaj perjuangan; gerakan ini adalah gerakan Anti British dan Anti Jepun.

Dengan pengaruh sosialis, komunis dan Islam pada ketika itu, maka muncul gerakan-gerakan nasionalis kiri antaranya seperti seperti KMM, KITA, API, AWAS, PKMM, PKM, MPAJA, PUTERA dan sebagainya. Dengan slogan "MERDEKA", ia adalah perkataan keramat yang memungkinkan British hilang pengaruh mereka di negara ini. Ini bererti British menghadapi tentangan dan tekanan yang kuat dari rakyat amnya.

Konsep Pecah dan Perintah

British bukan bodoh. British masuk menjajah dengan konsep dan sistem. Ianya amat mudah. Konsep "Pecah dan perintah" atau "Devide and Rule" ini adalah asas utama terpenting dalam pentadbiran British di Tanah Melayu. Konsep Devide and Rule ini adalah strategi politik, ketenteraan dan ekonomi yang telah diimplementasikan sejak zaman sebelum Perancis direvolusikan lagi.

Konsep ini adalah salah sebuah alat yang digunakan untuk melemahkan gerakan nasionalisme kiri dalam perjuangan mereka menjajah rakyat bersatu dan bangun menentang penjajah. Konsep ini adalah asas dalam pembentukan UMNO, MCA dan MIC yang dilihat British sebagai gerakan nasionalis kanan. Gerakan nasionalis kanan ini adalah 'anak didik' British yang terdiri dari golongan elit dan feudal.

"Askar Melayu" berkhidmat untuk British

Orang-orang Melayu menyertai Pasukan bersenjata yang dinamakan "Askar Melayu" dan sebahagian mereka menjadi anggota Polis. Askar Melayu ini mengambil alih tugas askar upahan Gurkha bagi menjaga kepentingan British. Apa yang berlaku ialah para pejuang nasionalis kiri terutamanya dari aliran komunis terpaksa melawan "Askar Melayu" dan "Polis Melayu" yang pro-British ini.

Jelas, "Askar Melayu" dan Polis ketika itu adalah boneka Inggeris. Nah. Secara umumnya "orang biasa" ketika itu melihat ini adalah isu "Melayu lawan Cina dan orang India senyap di ladang getah". Walaupun gerakan kiri ini juga disertai oleh ramai orang Melayu; tetapi dimanipulasi oleh propaganda British. Jelas. Konsep Pecah dan Perintah ini berjaya. Dengan ini, British berjaya mencorak sikap dan konsep perkauman sempit dan dokongan diberikan kepada UMNO yang menjadi "alat" mereka.

Rasisme: doktrin yang sempurna?

Selepas lebih 50 tahun merdeka, pecah dan perintah ini tetap diteruskan oleh BN sebagai legasi British sehingga saat ini (dahulunya adalah Perikatan). Apabila BN melihat tanda-tanda awal penolakan rakyat terhadap mereka terutamanya sejak Tsunami Politik 2008, senjata utama mereka adalah menimbulkan isu perkauman dan agama. Ini adalah fakta. Rasionalnya; apabila orang Melayu merasa bahawa komuniti itu "terancam", harapan UMNO adalah agar orang Melayu kembali kepada mereka.

BN yang dikepalai oleh UMNO dilihat sebagai dalang dan cuba menimbulkan "prasangka buruk" sesama rakyat pelbagai kaum. Bertunjangkan dengan slogan berbaur perkauman seperti "Ketuanan Melayu" ia memberi gambaran buruk kepada masyarakat bukan Melayu seolah-olah perlu menjadi "hamba kepada orang Melayu". Ini adalah doktrin yang amat bahaya kepada Malaysia.

Politik perkauman yang mengagungkan bangsa Aryan di German dan menghina bangsa lain, telah menyebabkan orang-orang Yahudi dikumpulkan dan dibunuh secara terancang oleh Nazi. Begitu juga apa yang telah berlaku di Bosnia dan Palestin dalam episod hitam penghapusan etnik. Doktrin perkauman sempit ini tidak lain adalah untuk keberlangsungan survival politik dan ekonomi sesebuah regim. Begitu juga yang telah dilakukan oleh British satu ketika dahulu.

BN: Nasib yang semakin tidak menentu

Barisan Nasional khususnya UMNO sebenarnya semakin tenat. Dalam keperluan meneruskan keberlangsungan survival politik dan ekonomi (kroni-kroni) mereka, isu perkauman adalah alat terbaik. Mari kihat lihat sekali lagi antara isu yang dimanipulasikan UMNO antaranya isu kandang ternakan babi moden di Sepang, isu kuota 10% bukan bumiputera masuk UiTM, isu penjualan arak di Selangor, isu Ahli Parlimen Serdang masuk surau Al-Huda, Isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, isu perarakan kepala lembu ke bangunan SUK Selangor, isu kubur Cina di Batu 3 Shah Alam dan yang paling baharu adalah isu Interlok.

Apa yang berlaku ialah BN semakin hilang sokongan daripada masyarakat Cina dan India. MCA dan MIC sebagai salah sebuah komponen terbesar BN dilihat cuma sebagai tunggul. Gagasan 1Malaysia yang diumumkan Najib dilihat sebagai kosmetik dalam menarik semula sokongan bukan Melayu kepada BN.

Rasisme adalah doktrin yang hampir sempurna. Sikap perkauman sempit yang dicanang sejak berdekad yang lalu ini masih kuat tersemat dihati sebahagian rakyat negara ini. Ia adalah barah yang amat berbahaya untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang berbilang kaum.

Tolak Rasisme: Rakyat Malaysia Semakin Bijak

Rakyat Malaysia semakin bijak. GST, kenaikan harga minyak yang samasekali mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan adalah beban kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama. Ia tiada kaitan langsung dengan ketuanan Melayu atau mana-mana "ketuanan". Malah isu "perkauman-ketuanan" ini tidak ada apa-apa manfaat langsung dalam meringani beban rakyat membeli susu anak atau beras di kedai runcit contohnya.

Rakyat tahu, kenaikan harga barang keperluan cuma menguntungkan golongan borjua dan kerajaan yang mengutip cukai. Rakyat harus sedar bahawa sebenarnya musuh utama kita adalah sistem ekonomi yang menekan dan bukan dari mana-mana bangsa. Setiap dari kita, berusaha dan bekerja untuk keberlangsungan kehidupan masing-masing.

Semangat perkauman sempit yang sering dimainkan oleh BN dan UMNO khususnya cuma alat untuk mengekalkan kuasa dan harta. Semangat perkauman yang masih wujud adalah hakikat yang perlu diakui. Apa yang perlu kita lakukan adalah melontar jauh "semangat perkauman yang sempit". Semangat perkauman harus kita maknakan semula di luar dasar penjajah terdahulu. Perbezaan yang wujud di Malaysia sebanarnya adalah rahmat untuk kita dan harus kita rayakan bersama!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

No comments

Powered by Blogger.