Saifuddin mahu budaya cabar debat politik dihentikan

KUANTAN, 18 Jan — Seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini meminta agar budaya cabar berdebat pada kalangan pemimpin politik dihentikan kerana tindakan itu tidak membawa sebarang manfaat.

Selain itu, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata Malaysia juga masih belum mencapai tahap budaya debat politik yang sihat bagi menganjurkan perdebatan antara pemimpin politik.

“Debat politik itu sebenarnya baik, tetapi perlu menggunakan cara yang betul dan bukannya cabar-mencabar kerana ia tidak akan ada penghujung,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai cabaran yang dilontar beberapa pemimpin politik untuk berdebat mengenai janji Program 100 Hari Pakatan Rakyat jika memenangi pilihan raya umum akan datang.

Antara yang terlibat dalam cabar-mencabar ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umno Khairy Jamaluddin, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ismail dan Ketua Angkatan Mudanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dipetik Bernama, Saifuddin juga berpandangan perdebatan yang mengikut emosi tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya menjadi bahan ketawa rakyat.

Terdahulu, beliau melancarkan Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), iaitu pusat pertama seumpamanya di Institusi Pengajian Tinggi di kawasan pantai timur.

Pada majlis itu beliau turut menyarankan IPT tempatan agar mewujudkan pusat bahasa bagi menggalakkan penguasaan bahasa ketiga pada kalangan mahasiswa dan seterusnya meluaskan peluang pekerjaan untuk mereka.

No comments

Powered by Blogger.