Selamat malam Cikgu Mala

M Faqih (mfaqihfikri@gmail)

SELAMAT malam cikgu. Kalau di sekolah anak murid sudah biasa dengan ucapan Selamat Pagi Cikgu. Ada juga ucap Selamat Petang Cikgu.

Jarang pula ada anak murid ucap Selamat Malam Cikgu. Anak murid hanya menghafal perkataan itu ketika di sekolah. Mereka jarang jumpa cikgu di luar waktu sekolah.

Namun lain pula di Dun Tenang sekarang. Ada cikgu yang boleh dijumpai tanpa mengira waktu dan ketika. Malam hari atau awal pagi pun ada cikgu yang mundar di situ.

Bagi penduduk bukan Melayu mereka lebih mudah ucapkan Selamat Malam Cikgu. Cikgu di Tenang, bukan guru yang mengajar anak mereka, sebaliknya cikgu inilah yang memperjuangkan nasib mereka.

Inilah Cikgu Normala Sudirman. Beliau berjaya memecah tradisi apabila muncul calon wanita pertama mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada pilihan raya kecil.

Biar pun pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengungkitkan perkara remeh temeh mengenai Cikgu Mala, namun ia boleh menghodohkan wajah Umno.

Mengungkit isu Cikgu Mala tidak bersalam dengan pengundi lelaki sebenarnya menyerlah kejahilan pemimpin yang mengakui beragama Islam.

Malulah kalau isu tersebut diungkit pemimpin Melayu dari Umno. Mungkinkah ia juga sekadar cerita tok selampit, yang khayal dengan paluan rebatnya.

Di Kelantan juga rakyat tidak mudah lupa teori tok selampit yang berulang kali dimainkan pemimpin Umno.

Macam cerita wayang kulit, Hanuman Kera Putih sanggup melakukan apa sahaja bagi mengalah Pak Dogol dan Wak Long.

Di Tenang Umno nampak gah mensasarkan majoriti 5,000 berbanding 2,492 undi diraih Datuk Sulaiman Taha pada Mac 2008. Impian itu diluahkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Misi Mustapa di Kelantan

Begitu juga dengan impian Datuk Mustapa Mohamed dalam misi merampas Kelantan.

Setiap kali menjelang pilihan raya umum pemimpin Umno tidak pernah serik mengeluarkan kenyataan ’mampu merampas Kelantan’.

Pada 1 Oktober 1999, Setiausaha Agung Umno ketika itu, Tan Sri Khalil Yaacob menyebut pilihan raya 1999, masa paling sesuai tukar kerajaan Kelantan.

Malah pada Disember 2002, Umno menggariskan 18 strategi bagi menawan Kelantan.

Sedangkan sehari sebelum itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) mensyaratkan dua formula bagi merampas Kelantan.

Formula itu dilontarkan ketika merasmikan konvensyen Barisan Nasional (BN) Kelantan di kampus UiTM di Machang.

Setahun sebelumnya, bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhd Muhammad Taib pada perjumpaan dengan jentera bahagian Uno Kelantan melahirkan iltizam membantu Umno menawan Kelantan.

Dan agak melucukan pada 10 Mac 2003, veteran Umno, Tan Sri Hussien Ahmad menghargai kesediaan Mustapa menjadi menteri besar sekiranya BN berjaya merampas Kelantan.

Pada 28 Mac 2003, Abdullah mempamerkan keyakinan BN mampu membentuk kerajaan di Kelantan.

Pada 11 November 1999, bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan rasa yakin BN dapat menawan semula Kelantan daripada PAS.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau mengetuai Perhubungan Umno buat kali kedua.

Ku Li mengulangi kenyataan tersebut berkali-kali sehingga akhirnya misi Umno Kelantan di bawah terajunya semakin hilang pengaruh pada pilihan raya umum November 1999.

Lebih menyedihkan lagi Ku Li juga hilang jawatan sebagai ketua perhubungan Umno negeri sejurus selepas itu.

Pemimpin Umno lain juga seronok bermain dengan perasaan termasuk bekas Pengerusi Umno Kelantan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Annuar Musa.

Dr Mahathir mengetuai Umno Kelantan sejak 1990 sehingga diganti Ku Li menjelang pilihan raya umum 1999. Selepas itu Mustapa diberi peluang menggalas cabaran menghadapi pilihan raya umum 2004.

Ekoran kegagalan Mustapa dalam misi hampir merampas Kelantan, Annuar pula mengambil tempat.

Dan sejak dua dekad lalu sudah empat pengerusi Perhubungan Umno Kelantan bertukar ganti. Namun impian merampas Kelantan sekadar menjadi ilusi dan buah kilas media harian.

Kini Mustapa sekali lagi diberi peluang. Mungkin dengan andaian mampu mengulangi kejayaannya pada 2004.

Namun gelombang kebangkitan Umno sehingga mencapai 90 peratus undi popular pada 2004 agak sukar untuk berulang.

Gelombangnya ketika itu digerakkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Penganalisis politik melihat kewarakan Pak Lah yang dianggap sebagai Mr Clean berjaya memusnahkan impian pembangkang.

Pengundi Melayu teruja dengan kebolehan Pak Lah menjadi imam. Media menjaja beliau anak ulama tersohor. Pak Lah juga ada senjata Islam Hadhari bagi menghalang kemaraan PAS.

Hari ini produk Islam tidak ada pada sisi Datuk Seri Najib Razak. Najib tidak hadir dengan produk berimej agama, sebaliknya mengambil metodologi lebih bersikap plural.

1Malaysia kini menjadi jenama bagi mengenali siapa Najib. Tiada daya tarikan bagi orang Melayu untuk dipautkan Najib. Itu belum lagi diambil kira kelibat isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Impikan 23 kerusi

Biar pun begitu impian Mustapa merampas balik 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan tidak boleh dipandang enteng.

Kemungkinannya ada kawasan Dun yang boleh terjerelus semula ke lubuk Umno tidak mampu dinafi. Paling mudah untuk dicamkan apabila wakil rakyatnya kurang berkerja.

Jarang turun padang, kedekut dan payah ’baso’ menjadi indikator penting menjarakkan sokongan pengundi.

Oleh itu bagi menggagalkan impian Mustapa, wakil rakyat yang disenaraikan di bawah kelompok itu perlu berubah.

Begitu juga yang ada macam-macam ’penyakit’ perlu diubat. Jangan dibiarkan ada orang kata wakil rakyat PAS dan Umno sama sahaja.

Sekiranya sindrom itu dibiarkan berlaku, teori tok selapit Mustapa boleh jadi kenyataan. Anggota parlimen Jeli itu mampu mempamerkan watak berlainan ketika pulang ke Jeli.

Di Jeli beliau rela menaiki kereta buruk dan berkain pelikat. Namun di Kuala Lumpur wataknya penuh protokol, itu lain cerita..

Mungkinkah kejayaannya memulih maruah Umno Kelantan pada 2004 berulang kembali.

Begitu juga di Tenang sekarang, pemimpin Umno kelihatan berlagak alim. Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pun bercakap mengenai Islam.

Lebih-lebih lagi calon BN, Mohd Azahar Ibrahim pasti akan tersemat songkok di kepala. Harapan mereka imej Islam ’buat-buatan’ mampu menarik simpati 7,014 pengundi Melayu.

Sedangkan orang Cina dan India pun kenal antara Islam palsu atau original.

No comments

Powered by Blogger.