Akuilah PAS, Pakatan dalam keadaan melemah!

Kemenangan selesa BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau dan Merlimau baru-baru ini, bukanlah petunjuk muktamad berlakunya perubahan secara total kepercayaan politik rakyat negara ini. Demikian pandangan Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Profesor Madya DR ABU HASSAN HASBULLAH. Ikuti hujah beliau ketika ditemubual oleh wartawan Harakah Salmiyah Harun baru-baru ini.


Mengapa majoriti BN meningkat dalam kedua-dua PRK kali ini?

Peningkatan majoriti adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah pengundi di kedua-dua kawasan, serta peningkatan peratusan mengundi berbanding 2008. Peningkatan majoriti dalam mana-mana pilihan raya kecil bukanlah petunjuk muktamad berlakunya perubahan secara total Kepercayaan politik masyarakat di negara ini kerana pertembungan dalam PRK kecil adalah sebuah pertembungan antara jentera sebuah parti dengan jentera sebuah kerajaan atau jentera negara.


Sudah tentu jentera sebuah parti iaitu Pakatan Rakyat tidak akan mampu untuk mengalahkan jentera sebuah negara yang lengkap dengan segala macam institusi, jabatan, perkakasan, arahan dan perintah serta elemen-elemen logistik dan strategi. Maka tentulah keupayaan demokrasi menjadi tidak seimbang, lalu ketidakseimbangan ini akan mendatangkan keuntungan yang besar pada mana-mana jentera yang lebih besar dan lebih berkuasa.

Bagaimana Profesor melihat kelemahan PAS dalam kedua-dua PRK ini?

Meskipun begitu kekalahan Pakatan Rakyat yang kedua-duanya diwakili oleh PAS, dan yang ketiga diwakili oleh PAS dalam tempoh terdekat menunjukkan bahawa wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama.

PAS mungkin tidak sepatutnya menempatkan calon di Merlimau kerana di situ aliran demografi lebih liberal relatif, lebih dinamik yang memungkinkan pemahaman yang lebih liberal, lebih plural, dan lebih 'pop culture' diperlukan. PAS sepatutnya perlu fokus kepada Kerdau kerana keupayaan imej, taktikal dan strategi di kawasan luar bandar yang masih tertutup dan tidak begitu dipengaruhi oleh nilai modernisme relatif berlaku.

Merlimau seharusnya diberikan kepada KeADILan kerana keupayaan imej, strategi dan taktikal dari aspek politik relatif. PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional.

Apa faktor yang menyebabkan masyarakat Kerdau dan Merlimau menolak PAS, apakah kerana masalah Pakatan Rakyat yang digambarkan oleh media arus perdana benar-benar mempengaruhi masyarakat.

Masyarakat Kerdau dan Merlimau belum memahami fungsi sebenar dan potensi sebenar yang ada pada Pakatan Rakyat, khususnya PAS kerana pertarungan informasi terhadap imej-imej yang dibangkitkan adalah berkesan, manakala PAS dan Pakatan Rakyat tidak pula bersungguh-sungguh secara strategi memulihkan kepunahan imej yang dibentuk itu.

Beban imej DAP terhadap imej PAS, dan beban strategi akhirnya menjadi PAS tidak berdaya saing dari aspek taktikal dan komunikasi. PAS harus menggunakan perubahan sikap dan strategi khususnya dengan menempatkan tokoh-tokoh muda yang lebih dinamik dan moden sebagai strategi baru dalam politik.



Kekalahan ini adalah sebenarnya kekalahan taktikal, dan strategi serta gagalnya Pakatan Rakyat untuk bersekutu dalam semua proses baik bentuk, kandungan dan sistem politik.

Pakatan Rakyat harus menyusun semula gaya, bentuk, kandungan dan matlamat politik dalam keadaan pertarungan politik yang tidak seimbang, dan demokrasi yang tidak moden.

Apakah sokongan Melayu kembali kepada BN secara total?

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang emosi. Tentunya segala macam kekeliruan yang dibentuk oleh media, ahli politik, insitusi yang berkepentingan dengan menghidupkan ketakutan terhadap masa depan akan terus menyandarkan diri mereka kepada pelindungan-pelindungan. Strategi menyerang pelindungan ini akan menyebabkan masyarakat Melayu tidak berani untuk bersedia dengan perubahan.

Maka sebagai suatu parti Pakatan Rakyat dan PAS hendaklah mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan.

Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin.

Apakah perkembangan ini memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan PAS dalam PRU ke-13 nanti?.

Tentulah kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK ini akan memberi kesan terhadap kepercayaan politik masa depan. Masyarakat tidak akan bertindak hanya kerana ingin bertindak, tetapi masyarakat bertindak kerana ada faktor-faktor yang mendorong mereka bertindak.

Pakatan Rakyat, atau PAS hendaklah mengakui mereka berada di situasi dan potensi yang lemah. Yang melemah.

Tidak boleh hanya bergantung pada dongeng bahawa golongan muda, profesional menyokong mereka. Atas dasar apa mereka akan sokong?

Seperti perbandingan kenapa masyarakat terus memilih untuk membeli baju lusuh bundle kerana baju lusuh bundle adalah memiliki jenama, sudah teruji kekuatan dan kebolehannya; sekira Pakatan Rakyat beranggapan mereka menawarkan baju baru meski tak berjenama maka hendaklah mempunyai tawaran fesyen, kualiti benang, jahitan, reka bentuk yang lebih baik dari baju lusuh bundle yang berjenama.

Apa plan drastik yang perlu dibuat oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam memenangi pilihan raya?

Pakatan Rakyat dan PAS perlu mengakui mereka di posisi melemah. Untuk mengatasi ini maka dalam demokrasi hendaklah diubah sikap, strategi, komunikasi, peranan dan pengaruh serta sistem ke arah lebih dinamik.

PAS tidak boleh berada dalam cara lama, sikap lama, kandungan lama kerana Revolusi 2.0 yang akhirnya menamatkan sistem politik demokrasi feudal di negara-negara Arab sebagai contoh adalah datang dari penggerak-penggerak partisipasi yang lebih dinamik dan intelektual.

PAS hendaklah menjadi dinamik selari dengan kedinamikan politik 2.0 itu sendiri. Sekira kepimpinan PAS masih banyak menghabiskan masa dengan polemik sejarah, budaya, aktiviti seperti isu-isu hari Valentina, dan lain-lain maka selagi itulah PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak dapat menguruskan krisis masa depan.
PAS memerlukan politikawan yang lebih dinamik, profesional dan terbilang.

1 comment

sydeen aka saidin said...

ingat, kita bukannya sekadar ingin memenagi pilihanraya tapi setiap perjuagan yg berterusan dgn ikhlas tanpa melemahkan semangat sendiri akan mendapat ganjaran diakhirat nanti.

Jadi kemenangan @ kekalahan itu adalah hak Allah. Hak kita ialah terus berjuang keranaNya.

Apa nak kesah

Powered by Blogger.