Umno Buat Solat Hajat kat Kota Bharu?

300 peniaga pasar lama arked MPKB buat solat hajat


KOTA BARU, 28 Mac – Tiga ratus peniaga Pasar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) hari ini mengadakan solat hajat di perkarangan pasar berkenaan selepas menghadapi jalan buntu dalam kemelut perpindahan.

Solat hajat bermula 8.30 pagi itu diadakan bagi memohon petunjuk agar peniaga tidak diusir kerajaan negeri ekoran tapak baru yang dijanjikan di Bazar Tok Guru tidak menepati janji yang dibuat sebelum ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Kota Baharu, Datuk Fatmi Che Salleh, yang turut menyertai solat hajat itu berkata ikhtiar itu diharapkan dapat membuka hati pihak berkenaan untuk berusaha menyelesaikan kemelut berkenaan yang telah berlanjutan sekian lama.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya isu ini dan betapa mereka semua ini memohon penyelesaian isu ini. Kita berharap pihak berwajib dapat selesaikan isu ini dengan baik dan tenang,” katanya kepada pemberita di sini.

Isu itu timbul kembali apabila 415 peniaga dari Pasar Arked Lambok UDA dan Pasar Lama MPKB menuntut janji Pas pada pilihan raya umum 2008 dengan dijanjikan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi pada harga RM40,000, tetapi kini harganya dikatakan naik sekali ganda antara RM80,000 hingga RM90,000 sementara keluasan lot kedai pula lebih kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi.

Ekoran pelbagai bantahan daripada para peniaga itu, kerajaan Pas Kelantan pada 10 Mac lepas mengumumkan harga baru bagi lot kedai berkenaan iaitu RM63,000 namun para peniaga tidak berpuas hati kerana keluasan lot tidak menepati citarasa peniaga kerana terlalu sempit untuk berniaga.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama Arked MPKB, Ab Salim Ahmad berkata solat hajat berkenaan merupakan jalan terakhir kepada para peniaga untuk memohon petunjuk agar hak mereka dibela sewajarnya.

“Kita (peniaga) telah ditimpa musibah yang mana kita doa kepada Allah SWT minta selesaikan masalah kita dan juga kepada pemimpin berkenaan minta dibuka pintu hati untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.

Para peniaga dalam pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini diberi kata putus supaya berpindah ke Bazar Tok Guru pada 31 Mei depan.

Bagaimanapun, peniaga kemudian menerima notis supaya mengosongkan premis perniagaan menerusi pemilik bangunan terbabit, Sensatimur Sdn Bhd itu dipercepatkan kepada 30 Mac ini, iaitu tinggal dua hari lagi.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Lama Arked MPKB, Zikri Ariffin merayu kepada kerajaan negeri dan pihak pemaju agar menangguhkan perpindahan peniaga sehingga Bazar Tok Guru siap sepenuhnya.

“Ini periuk nasi kami, kami berharap pihak terbabit bersimpati terhadap nasib kami dan menangguhkan dulu perpindahan ini,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.