PKR: Soi Lek, Rahim perlu letak jawatan, jangan hanya cabar Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mencabar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik supaya meletakkan jawatan yang dipegang sekarang jika benar-benar mahu menunjukkan teladan baik kepada pimpinan muda dan rakyat negara ini.

Kata Chua, kedua-dua pemimpin itu perlu berbuat tanpa hanya mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan rakaman video seks Isnin lalu.

“Kalau benar individu-individu ini mahu bersyarah mengenai moral, maka mereka perlu menunjukkan teladan baik kepada pimpinan muda dan rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Batu ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu, kata Chua, beliau mengulangi desakan yang telah dibuat oleh rakan-rakannya agar Dr Chua meletakkan semua jawatan politik dan bersara terus sebagai tanda beliau insaf selepas skandal seksnya tersebar luas manakala Abdul Rahim melepaskan semua kedudukan dalam kerajaan terutamanya sebagai Pengerusi Risda kerana penglibatannya dengan kes rogol kanak-kanak bawah umur masih kekal dalam ingatan rakyat sehingga kini.

“Jika Datuk Seri Chua tidak sanggup menunjukkan teladan yang baik, dia tidak wajar campur tangan dalam skandal video seks yang didalangi Umno ini kerana rekod moralnya sangat memualkan,” katanya dalam reaksi berhubung “perang kenyataan” dalam isu semasa ekoran pendedahan rakaman video seks melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat Isnin lalu.

Beliau yang turut dikenali sebagai Tian Chua merujuk kepada kenyataan Dr Chua Soi Lek mengenai skandal seks video yang didalangi oleh tokoh-tokoh Umno.

Kenyataan itu memetik seruan Dr Chua, Presiden MCA, supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau bukanlah si pelaku dalam video.

Abdul Rahim merupakan bekas ketua menteri Melaka dan bekas ketua Pemuda Umno manakala Dr Chua pula melepaskan jawatan naib presiden MCA dan menteri kesihatan tiga tahun lalu sebelum dipilih semula sebagai presiden MCA awal tahun lalu.

“Saya pasti rakyat Malaysia turut sama berkongsi rasa mual apabila seorang ahli politik yang mempunyai rekod kurang moral yang diketahui umum cuba membuat komen mengenai moral dan integriti.

“Seluruh rakyat Malaysia arif tentang skandal seks yang melibatkan Datuk Seri Chua dan dia sendiri mengakui bahawa dia menjalin hubungan seks di luar perkahwinan dengan seorang wanita dan dirakam melakukannya,” katanya.

Chua menambah perancangan Umno untuk memfitnah Anwar melalui video seks terbaru semakin ditolak rakyat apabila individu-individu yang telah dibuktikan terbabit dalam skandal seks sebelum ini tampil untuk menjadi juara moral dan integriti.

“Rabu lalu ramai rakyat Malaysia terketawa apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik (berkata) yang terpaksa (beliau) meletakkan jawatan politik kerana terbabit dalam kes rogol kanak-kanak bawah umur muncul kononnya untuk memastikan bakal pemimpin negara mempunyai moral.

“Semalam, seorang lagi ahli politik Barisan Nasional iaitu Datuk Seri Chua Soi Lek mula berani bercakap mengenai moral walaupun rekodnya penuh kotor dengan skandal seks,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau, individu-individu ini tidak layak untuk bercakap mengenai moral dan integriti dan mereka juga tidak wajar dibenarkan menukar prinsip keadilan bahawa yang menuduh perlu membawa bukti dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

“Kenyataan Datuk Seri Chua semalam secara jelas ingin meletakkan beban bukti kepada Datuk Seri Anwar sedangkan kumpulan yang menuduh beliau mempunyai rekod yang buruk dalam politik,” kata Chua lagi.

No comments

Powered by Blogger.