Pekerja nuklear diarah berpindah

TOKYO - Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan pekerja-pekerja dari loji jana kuasa reaktor nuklear Fuskuhima Daiichi yang rosak selepas mengesan peningkatan bahan radiasi.

Pihak pengurusan syarikat Tokyo Electric Power Co (TEPCO) yang mengendalikan loji jana kuasa itu menyatakan, tahap radiasi dalam air di reaktor nombor dua loji tersebut melebihi 1,000 milisievert sejam jika dibandingkan dengan standard keselamatan kebangsaan iaitu hanya 250 milisievert setahun.

Agensi Perlindungan Keselamatan Amerika Syarikat menyatakan kesan radiasi sebanyak 1,000 millisievert sudah cukup untuk menyebabkan perdarahan dalam tubuh manusia.

Pegawai-pegawai TEPCO berkata, pekerja-pekerja tersebut telah dikeluarkan daripada bangunan turbin di reaktor nombor dua untuk mengelakkan mereka terkena pancaran radiasi yang berbahaya.

Pekerja-pekerja tersebut telah berusaha sebelum ini untuk mengepam keluar air di reaktor tersebut yang mengandungi radioaktif.

Para jurutera TEPCO berhempas-pulas sepanjang dua minggu lalu bagi mengelakkan malapetaka yang disebabkan oleh sejumlah batang bahan bakar di Fukushima Daiichi cair selepas rosak akibat gegaran gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, ujian menunjukkan air di loji nuklear tersebut mengandungi tahap radioaktif 10 juta kali ganda daripada normal didapati satu kesilapan.

Beberapa pegawai menyatakan tahap radiokatif itu mungkin lebih rendah daripada keputusan ujian tersebut.

Gempa bumi kuat pada skala 9.0 Richter pada 11 Mac lalu itu menyebabkan 27,500 orang terbunuh dan hilang.

Kerja-kerja tersebut sudah beberapa kali terhenti kerana kerap berlaku letupan dan kenaikan tahap radiasi di dalam reaktor.

Tragedi di Jepun itu merupakan krisis nuklear paling teruk sejak letupan loji di Chernobyl, Ukraine pada suku abad lalu.

Pada Khamis lalu, tiga orang pekerja TEPCO yang bekerja di reaktor nombor tiga telah dimasukkan ke dalam hospital selepas terkena air yang mempunyai tahap radiasi sebanyak 10,000 kali ganda tinggi daripada tahap radiasi di dalam reaktor.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano berkata, langkah berhati-hati bagi menghadapi masalah nuklear akan berlanjutan selama beberapa minggu dan mungkin berlarutan selama berbulan-bulan.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, jika seseorang itu mengalami pendedahan radiasi yang banyak di antara 50 hingga 100 millisievert, mangsa akan mengalami perubahan bahan kimia dalam darah.

Jika seseorang terkena radiasi di antara 100 ke 500 millisievert, dia akan berasa mual atau loya.

Seseorang itu akan muntah-muntah jika terkena pancaran melebihi 500 sehingga 700 millisievert.

Rambut akan gugur dalam tempoh hanya dua hingga tiga minggu jika terkena radiasi di antara 700 ke 750 millisievert.

Apabila terdedah di antara 750 hingga 900 millisievert, pesakit akan mengalami cirit-birit.

Pendarahan akan berlaku apabila seseorang itu terkena pendedahan bahan radiasi 900 hingga ke 1,000 millisievert.

Kematian boleh berlaku dalam tempoh dua bulan jika seseorang itu terdedah pada radiasi sebanyak 1,000 hingga 4,000 millisievert jika tidak mendapatkan rawatan.

Dinding usus akan rosak, pendarahan dalaman bakal berlaku dan seseorang itu boleh mati dalam tempoh di antara satu hingga dua minggu jika terdedah pada pancaran radiasi di antara 4,000 hingga 10,000 millisievert.

Pendedahan radiasi yang tinggi antara 10,000 hingga 20,000 millisievert pula akan menyebabkan kerosakan sistem saraf tunjang dan boleh membawa maut hanya dalam tempoh masa beberapa jam. - Agensi

No comments

Powered by Blogger.