‘Ambil balik anugerah Nobel daripada Obama’

LA PAZ: Presiden Bolivia, Evo Morales menggesa anugerah Nobel Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ditarik balik kerana menyifatkan keputusan pemimpin itu melancarkan serangan tentera terhadap Libya menunjukkan beliau tidak layak mendapat anugerah itu.

“Dua tahun lalu, kita mendengar bahawa Presiden Obama memenangi anugerah Nobel Keamanan tetapi adakah beliau mempertahankan keamanan dunia sekarang, atau tidakkah beliau yang mencetuskan keganasan?” kata Morales kepada pemberita.

Ulasan dibuat beberapa hari selepas Obama mengarahkan pengeboman mensasarkan tentera Libya sebagai usaha yang disokong PBB untuk melindungi penduduk awam.

“Bagaimana mungkin untuk memberi anugerah Nobel Keamanan kepada seseorang yang melancarkan serangan, pengeboman? Ia satu pencabulan, serangan, pencerobohan,” kata Morales, pemimpin Latin Amerika berhaluan kiri yang lantang mengkritik Amerika Syarikat.

“Obama adalah ketua kumpulan yang mengetuai serangan dan pencerobohan, dan tidak ada kena mengena dengan mempertahankan hak asasi manusia,” katanya.

Obama menerima anugerah berkenaan pada Disember 2009 kurang setahun selepas dilantik sebagai presiden Amerika.

Dalam ucapan beliau di Oslo, Obama merujuk dirinya sebagai ketua komander sebuah negara yang berada di tengah-tengah dua perang dan menyifatkan konflik bersenjata adalah tepat pada masanya.

Obama menghadiahkan AS$1.4 juta (RM4.2 juta) hadiah wang tunai yang dimenanginya itu kepada 10 badan kebajikan termasuk kumpulan yang bekerja bagi pemulihan Haiti dan menyokong keluarga tentera. – AFP

No comments

Powered by Blogger.