Antara politik realiti, ilusi — Berita Harian

7 MAC — Selagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang tempoh penggal kesembilannya berakhir pada 24 Julai depan, tidak dibubarkan, selagi itulah tarikh pilihan raya negeri ke-10 akan terus menjadi teka-teki dan bahan spekulasi. Jika sebelum ini ada meramalkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan membubarkan DUN pertengahan bulan ini supaya pilihan raya diadakan sebelum 26 Mac, ulang tahun ke-30 beliau menerajui kerajaan negeri, ia mungkin tidak menjadi kenyataan. Taib memberitahu pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Sarawak di Kuching kelmarin, tarikh pilihan raya negeri tiada kaitan dengan ulang tahun ke-30 beliau menjadi Ketua Menteri.

Selain kenyataan Taib, beberapa aktiviti penting di Sarawak seperti Program Sejiwa Senada dan perhimpunan belia yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini, selain Sarawak tidak pernah mengadakan pilihan raya pada Mac, turut menguatkan andaian bahawa pilihan raya negeri tidak diadakan bulan ini.

Taib, yang bakal berusia 75 tahun pada 21 Mei ini, hanya berkata pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi. Kenyataannya itu mengukuhkan pula satu lagi teori bahawa pilihan raya akan diadakan bulan depan. Malah, beberapa akhbar tempatan di Sarawak minggu lalu menjadikan spekulasi pilihan raya negeri pada 9 April di muka depan, kononnya kerana angka itu kegemaran Taib, walaupun dalam sejarah pentadbiran Taib, ia tidak pernah diadakan pada tanggal 9 hari bulan.

Sama ada pilihan raya Sarawak ke-10 diadakan akhir bulan ini atau pertengahan bulan depan atau tarikh lain sebelum 24 Julai ini, ia hanyalah tajuk pemanas bicara di kedai kopi dan spekulasi media. Persoalan sebenar pastinya keputusan pilihan raya negeri kali ini — sama ada Barisan Nasional (BN) Sarawak dapat meningkatkan kemenangannya, mengekalkan 63 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan atau kehilangan beberapa kerusi lagi, walaupun ramai percaya ia masih mampu memperoleh majoriti dua pertiga.

Tidak kurang pentingnya ialah sejauh mana pembangkang — khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat mengukuhkan sayapnya di Bumi Kenyalang, seperti diuar-uarkan selepas mereka menguasai empat kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 2008.

Berdasarkan beberapa kunjungan ke Sarawak dalam tempoh sebulan ini, memang demam pilihan raya semakin terasa, walaupun tanpa poster dan bendera. BN juga nampaknya sudah bersedia menghadapinya sama ada dari segi pemilihan calon dan menangani isu-isu mainan pembangkang, termasuk di kawasan yang dianggap kelabu dan hitam, sebahagian besarnya di kerusi pengundi majoriti Cina.

Malah konvensyen sehari kelmarin adalah perhimpunan terbesar pemimpin komponen BN negeri — Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) — sebelum DUN dibubarkan. Dalam kata lain, konvensyen itu adalah manifestasi hubungan rapat komponen BN Sarawak dan keyakinan mereka dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-10.

Selain itu, beberapa isu yang dijangka menjadi modal pembangkang pada pilihan raya kali ini sudah mula ditangani BN. Soal sampai bila Taib akan menjadi Ketua Menteri juga sudah mula terjawab apabila beliau baru-baru ini membayangkan pilihan raya negeri kali ini adalah yang terakhir buatnya.

BN negeri juga sudah menangkis tohmahan pembangkang mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri itu, isu yang dilihat menjadi modal utama pembangkang kali ini. Terbaru, semua tanah yang dibekukan di Bako sejak 30 tahun lalu mengikut Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak, yang menghalang pemiliknya membangunkan kawasan itu jika ia diperlukan untuk tujuan awam, sudah ditarik balik.

SUPP, yang kehilangan banyak kerusi di tangan DAP pada pilihan raya negeri lalu dan tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu tahun lalu, juga dilihat mula mengambil tindakan terhadap kritikan terhadapnya, terutama mengenai ketiadaan pemimpin pelapis sama ada dalam parti atau di kawasan yang mereka wakili.

Kelmarin, seorang pakar kardiologi berusia 46 tahun, Profesor Dr Sim Kui Hian, dinamakan sebagai calon SUPP bagi merampas kerusi Pending daripada DAP. Soal sama ada pemilihan beberapa calon muda cukup buat SUPP untuk memastikan ia tidak kehilangan banyak lagi kerusi di kawasan majoriti Cina, hanya terjawab pada hari pengundian nanti.

Bagaimanapun, dalam ketiadaan isu-isu besar yang boleh menggugat kedudukan BN, pembangkang biasanya mengalihkan pandangan rakyat kepada isu peribadi yang tidak terbukti kebenarannya, terutama menerusi laman web mereka.

Sementara BN Sarawak menghadapi pilihan raya negeri ini bermodalkan “politik reality” seperti dinyatakan Taib kelmarin, pembangkang, jika pengalaman di Semenanjung boleh dijadikan ukuran, tentunya menggunakan “politik ilusi” dengan membuat pelbagai janji, walaupun yang tidak termampu untuk ditepati. Pilihan raya Sarawak ke-10 nanti bakal menyaksikan pertembungan dua jenis politik ini. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments

Powered by Blogger.