Anwar gesa kerajaan wujud prosedur kewangan agih peruntukan negeri

SHAH ALAM: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mewujudkan ketetapan pengurusan dana dan prosedur kewangan oleh kementeriannya supaya peruntukan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak didiskriminasi.

Demikian saranan Anwar sekaligus menyifatkan tindakan kerajaan itu menyebabkan konsep federalisme kian terhakis ekoran beberapa negeri di bawah PR hanya menerima peruntukan kecil walaupun menyumbangkan sejumlah besar hasil negeri.

“Contohnya Selangor yang menyumbangkan sebanyak RM16 bilion setiap tahun tetapi hanya diberi pulangan daripada kerajaan Persekutuan RM400 juta sahaja.

“Perkara ini diberitahu oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang membandingkan peruntukan diterima negeri itu sebelum ini di bawah Barisan Nasional (BN) yang berlipat kali ganda,” kata Anwar pada sidang media di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini hari ini pada program Wacana Ekonomi ‘Federalisme – Keadilan dalam pengagihan kekayaan negara’.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata, tiada pertikaian untuk pembahagian mengikut kepentingan dan keperluan negeri tetapi yang dipertikaikan ialah tidak ada kaedah yang rasional dalam pembahagian tersebut seraya menuntut kerajaan mengadakan dasarnya.

“Apabila negeri di bawah PR maka (peruntukan) terus disekat, malah Pulau Pinang juga terima nasib sama yang sama apabila menerima jumlah lebih kecil walaupun sumbangan negeri itu tinggi.

“Kita ada usul bukan sahaja kepada negeri Pakatan, tetapi Sabah Sarawak, Kelantan dan Terengganu yang mempunyai minyak dan melibatkan royalti yang perlu diterima mereka,” kata Anwar.

Tegas Anwar lagi, kerajaan Persekutuan mesti mengambil kira dasar yang rasional dan tidak boleh mengikatnya melalui fahaman politik yang berbeza.

“Bukan soal nak ambil kuasa Pusat, tetapi mereka tidak ada kaedah asas yang rasional contohnya hanya 2.9 peratus (peruntukan) kepada negeri Pakatan tetapi negeri di bawah Barisan Nasional menerima peruntukan sebanyak 20 peratus.

“Jika negeri miskin dapat lebih tidak mengapa, tetapi Selangor walaupun negeri kaya, tetapi tidak semuanya berpendapatan tinggi seperti Melayu di Sabak Bernam, India di estet dan Cina di pinggir bandar,” kata Anwar.

No comments

Powered by Blogger.