Cabaran Pilihan Raya Negeri Sarawak

A Kadir Jasin

RAMAI yang minta saya mengulas mengenai pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pada 19 Mac pengumuman dibuat bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan pada 21 Mac.

Pada waktu ini, saya hanya boleh membuat analisis kasar dan rambang. Lagipun, politik Sarawak tidaklah semudah yang disangka. Malah dalam beberapa hal ia lebih rumit daripada politik nasional.

Buat permulaan, Barisan Nasional diwakili oleh BN negeri yang tidak membabitkan parti-parti utama BN dari Semenanjung. BN Sarawak adalah gabungan parti-parti bangsa dan suku kaum negeri itu.

Antara perkara yang boleh dan perlu dipertimbangkan adalah:-

1. PRN ini akan menjadi penentu masa depan politik Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud. Beliau sudah pun membayangkan yang beliau akan berundur selepas PRN;

2. PRN ini akan menjadi kayu pengukur kepada kemampuan BN untuk terus bergantung kepada Sarawak sebagai “penyelamat” di Parlimen. Kalau BN Sarawak dapat mengekalkan kedudukannya, BN pusat boleh terus bergantung kepada pengundi Sarawak untuk mengekalkan penguasaannya terhadap Dewan Rakyat.

(Dalam PRU 2008, BN Sarawak menyumbangkan 30 kerusi Parlimen dan Sabah 24 kerusi untuk menjadikan kerusi Parlimen BN 140.)

3. Faktor Abdul Taib akan memainkan peranan penting menentukan sama ada BN Sarawak akan terus mendapat sokongan atau tidak. Tuduhan dan dakwaan rasuah serta salah guna kuasa oleh beliau pasti akan dipergunakan sepenuhnya oleh parti-parti Pakatan Rakyat;

4. Siapa akan menggantikan Abdul Taib juga penting. Dalam amalan sistem pecah dan perintahnya, Abdul Taib tidak memberi kata putus siapa bakal menggantikan beliau.

5. Kerana Abdul Taib memerintah begitu lama iaitu sejak 1981, kepemimpinan BN Sarawak menjadi tua dan ramai pemimpin berkaliber tersingkir atau bersara daripada politik. Kalau BN gagal mengemukakan pengganti yang meyakinkan bagi Abdul Taib dan menawarkan ramai calon muda, BN Sarawak akan mengalami masalah imej dan integriti, khasnya di kalangan pengundi muda;

6. Manakala rasisme menjadi semakin ketara di Semenanjung selepas PRU 2008, di Sarawak “nasionalisme” anak negeri juga memuncak akibat isu agama dan pemilikan tanah;

7. Isu-isu seperti Tanah Adat, dakwaan pencerobohan ke atas Tanah Adat oleh pembalak dan kontroversi mengenai penyebaran kitab Injil dalam bahasa Melayu serta tuntutan Gereja Roman Katolik ke atas kalimah Allah akan mempengaruhi pengundi;

8. Di kalangan orang Islam pun komitmen kepada BN Sarawak tidak padu lagi kerana persepsi bahawa mereka dipinggirkan atas dasar suku kaum dalam apa yang sering disebut Melanau-lawan-Melayu;

9. BN Sarawak mempunyai kelebihan (advantage) berbanding pembangkang dalam aspek kewangan dan logistik. Kempen di Sarawak sukar kerana keluasan wilayah dan kesukaran untuk sampai ke pedalaman. Banyak tempat hanya boleh dihubungi dengan helikopter;

10. Cabaran kepada PR pula adalah sama ada ia berani bertanding atau boleh bertanding atas platform yang sama, khasnya mengenai isu agama dan adat resam kerana ideologi mereka yang berlainan; dan

11. Namun PR berkemungkinan memperbaiki prestasinya di kawasan-kawasan bandar di mana ramai pengundi Cina dan di luar bandar di mana Iban/Dayak menjadi majoriti pengundi.

Berpandukan hal-hal di atas, maka buat masa ini saya hanya mampu dan berani memberikan “open verdict” kepada keputusan PRN Sarawak walaupun ia masih memihak kepada BN.

Nota kaki: Mohon maaf jika terlambat menyiarkan komen. Di perantauan. Terima kasih.

http://kadirjasin.blogspot.com/2011/03/cabaran-pilihan-raya-negeri-sarawak.html

No comments

Powered by Blogger.