Harga gula naik 20 sen setiap 6 bulan!

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil, dan al-Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu. Kemenangan itulah yang besar." (al-Taubah 9:111)
***

KETIKA menghadiri majlis penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Merlimau di Politeknik Merlimau baru-baru ini, penulis diberikan beberapa bahan bacaan antaranya akhbar Debat Rakyat sebanyak dua keluaran.

Dalam salah satu edisi akhbar itu ada termuat sebuah artikel mengenai kenaikan harga barang yang dakwa akhbar berkenaan pembangkang gagal fahami trend pasaran dunia.

Menurut akhbar berkenaan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Ismail Sabri Yaakob, pernah menegaskan bahawa harga barangan tidak mampu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan walaupun pelbagai langkah menanganinya telah diambil.

Bagi kita pengakuan menteri berkenaan adalah wajar tetapi jika tahu tidak dapat mengawal keadaan adalah tidak wajar bagi pihak berkenaan membuat janji manis kepada rakyat menjelang pilihan raya tetapi gagal menepatinya.

Misalnya bagi kempen pilihan raya kecil Galas yang berlangsung akhir tahun 2010, menteri memberi jaminan bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan bagi tahun berkenaan.

Tetapi belum pun tahun itu berakhir, harga minyak sudah dinaikkan jadi rakyat boleh membuat tanggapan bahawa pemimpin cakap tidak serupa bikin atau menyamai sebuah pantun yang diubah suai - ikan senahak, ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi menteri.

Demikian juga janji BN tidak akan membebankan rakyat menjelang pilihan raya kecil Tenang; sebaik saja BN memang, pada malam itu juga diumumkan harga minyak RON 97 dinaikkan lagi. Tidakkah ini pembohongan secara terang-terangan, sayangnya sejumlah rakyat masih percaya kepada kerajaan Umno-BN yang berslogankan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Debat Rakyat melaporkan: “Kerajaan melalui Pemandu (Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi) yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Seri Idris Jala (yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) telah menganjurkan langkah bijak, yang mana sebarang kenaikan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi memberikan rakyat peluang untuk menyesuaikan diri dengan langkah yang diambil.

“…Kerajaan sebenarnya tidaklah menaikkan harga barang secara membabi buta seperti yang didakwa oleh pembangkang. Bahkan dalam Makmal Rasionalisasi Subsidi kerajaan yang diperjelaskan oleh Pemandu, jelas sekali kerajaan telah memaklumkan kepada rakyat terlebih dahulu akan kenaikan harga barang-berang tertentu.

“Sebagai contoh, gula akan dinaikkan sebanyak 20 sen (sekilogram?) bagi setiap enam bulan sehingga 2012, tepung pula akan dinaikkan sebanyak 20 sen bagi tahun 2010 dan 25 sen bagi tahun 2011 manakala minyak masak pula akan dinaikkan sebanyak 15 peratus pada than 2010 dan 2011, dan akan dinaikkan sebanyak 5 peratus setahun sehingga Januari 2014.” (Debat Rakyat muka surat 9)

Harga gula pasir telah dinaikkan 25 sen sekilogram pada pertengahan tahun 2010 dan kemudian dinaikkan lagi 20 sen pada Disember 2010. Jika kaedah ini diteruskan, harga gula akan dinaikkan lagi 20 atau 25 sen pertengahan tahun ini (2011).

Jika Pemandu merasionalkan rakyat akan bersedia untuk menghadapi kenaikan itu, saya percaya pemborong, penjual dan peruncit lagi sudah bersedia. Itulah agaknya sebulan atau dua dan tiga bulan sebelum tarikh kenaikan ini berlangsung, barangan keperluan seperti gula tiba-tiba hilang daripada pasaran.

Buat apa pekedai menjual gula pada masa itu sebab mereka boleh tunggu sebulan dua lagi kerana mereka akan untung besar; kalau 1 kilogram mereka dapat untung tambahan 20 sen; 1,000 kilogram mereka sudah dapat wang tambahan ‘buta’ sebanyak RM200.

Kaedah kerajaan Umno-BN yang menaikkan harga barangan keperluan setiap enam bulan ini akan membebankan rakyat. Ini kerana pendapatan hampir keseluruhan rakyat tidak sejajar dengan kenaikan itu. Bagi penjawat awam dan swasta gaji mereka dinaikkan setahun sekali; bagi orang kampung seperti petani, penoreh getah dan nelayan, pendapatan mereka adalah berdasarkan hasil diusahakan mereka.

Apabila harga gula dan barangan keperluan asas lain dinaikkan, secara automatik harga makanan seperti kuih muih, nasi lemak dan minuman dinaikkan sekali gus menambah beban rakyat. Tentunya mereka yang menerajui Pemandu tidak terasa akan kenaikan barangan asas sebanyak 10 sen atau 20 sen tetapi penambahan itu membawa kesan besar kerapa rakyat.

Apabila ini berlaku, bukanlah kebajikan rakyat didahulukan sebaliknya rakyat didahulukan untuk menanggung beban. Lebih menyakitkan hati apabila wang penjimatan akibat pengurangan subsidi itu dihamburkan secara boros seperti melaksanakan projek-projek mi segera yang tidak terlalu diperlukan ketika pilihan raya kecil termasuklah di Merlimau dan Kerdau!

http://lanh14.blogspot.com/2011/03/harga-gula-naik-20-sen-setiap-6-bulan.html

No comments

Powered by Blogger.