Kempen ajak guna kondom untuk hindari HIV. Pelikkan?

Oleh SYAFIQ KAMARUL

OLEH kerana obses dengan minatnya banyak orang di negara kita terhadap golongan artis atau selebriti TV dan radio terkenal, maka banyak kempen kesedaran terhadap sesuatu isu atau gejala yang diadakan mesti akan membabitkan mereka. Alasan yang diberi ialah selebriti tersebut mampu menarik perhatian masyarakat.

Pada tahun lalu diadakan Kempen Kami Prihatin anjuran sebuah akhbar harian bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ramai artis terkenal dilibatkan, serta menyanyikan lagu tema, seperti Anuar Zain, Amy Search, Hattan, Lah VE, Fauziah Latiff, Maya Karin, dan Siti Nurhaliza. Bagaimanapun, kesan kempen yang bertujuan membendung gejala pembuangan bayi, dan penderaan kanak-kanak itu entah bagaimana tahapnya.


Pada 24 Feb hingga 13 Mac ini pula, diadakan Kempen Kesedaran AIDS di sebuah kompleks beli-belah tekenal di Bangsar, Kuala Lumpur. Kempen tersebut anjuran bersama PT Foundation dan ruumzcauses dengan Studio Phase, kyanite.tv, Orchan Consulting & Creative Juice/Sil yang menjadi projek pertama seumpamanya di Malaysia dari rakyat untuk rakyat.

Ia dijadikan kempen yang membabitkan penyertaan kita semua. Menurut penganjur, usaha bersungguh-sungguh amat diperlukan dalam meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan, dan anti-diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS melalui koleksi foto rakaman jurugambar profesional, Simon Chin.


Semua dana yang sempat dikumpulkan daripada kempen tersebut didermakan kepada PT Foundation, serta membantu PT mencapai matlamat menjadi pertubuhan berasaskan komuniti membanteras HIV/AIDs yang paling berkesan.

Penganjur menyeru rakyat Malaysia mengumpulkan 13,000 keping foto bermesej menentang HIV/AIDS, dan menentang diskriminasi terhadap penghidap HIV/AIDS, serta mengenang kembali 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia akibat AIDS.

Penganjur turut mengajak kita berkongsi nesej dengan berusaha mengambil foro diri sendiri yang disertakan coretan atau mesej, kemudian kirimkan kepada aidsaware.ruumz.com.

Antara selebriti terkenal yang foto mereka dirakam, dan dipamerkan termasuklah Erra Fazira, Ida Nerina, Harith Iskandar, Jehan Miskin, Tony Eusoff, Sazzy Falak, Sarimah Ibrahim, Daphne Iking, Yasmin Hani, Jojo Struys, serta supermodel antarabangsa popular kelahiran Malaysia, Amber Chia, dan Marina Mahathir.

Dari satu segi, kempen seperti ini baik dan wajar disokong, diperhati, dan diteruskan. Bagaimanapun, dari satu segi lain, amat ketara keganjilan dan kesongsangannya. Sambutan orang ramai sewaktu saya mengunjungi pameran kempen tersebut juga tidak memberangsangkan. Orang ramai seperti tidak peduli walaupun wajah-wajah jelita dan tampan dipamerkan.

Ganjil dan songsang, serta kemungkinan matlamat membendung HIV/AIDS akan gagal kerana saya nampak yang giat dan lebih ditekankan ialah mengelakkan gejala tersebut melalui kondom. Yang biasa menggunakan kondom ialah pasangan luar nikah. Pasangan suami isteri amat jarang menggunakannya kerana apa yang dibimbangkan kalau tidak menggunakan kondom?

Yang menggunakan kondom ialah mereka yang tidak berkahwin, pelanggan pelacur, ataupun tidak mengetahui penyakit pasangan seks haram, serta mahu mengelakkan HIV/AIDS. Jadi, kempen tersebut sepatutnya menekankan soal menghindari zina. Jika zina tidak berlaku, salah satu cara penularan wabak HIV/AIDS dapat dielakkan (dua cara lain ialah berkongsi jarum suntikan atau picagari, dan dari ibu kepada bayinya sewaktu kehamilan, kelahiran, atau penyusuan).

Kebanyakan foto yang dipamerkan pula tidak mengajak atau mengajar masyarakat, terutama orang Islam menghindari zina. Ia hanya menggalakkan penggunaan kondom - dalamperkahwinan atau luar perkahwinan. Adakah penganjur membuat perjanjian dengan syarikat pengeluar kondom?

Antara contoh yang boleh dilihat ialah foto yang menampilkan Harith Iskandar dengan mesej: "Kalau anda mencintainya ... gunakan pelindung (kondom). HENTIKAN AIDS" (If you love her ... wear a cover. STOP AIDS). Mencintai atau tidak, tidak terbatas pada pasangan suami isteri sahaja. Pasangan luar nikah juga saling mencintai!

Terdapat juga foto yang memaparkan Sazzy Falak dengan mesej dalam bahasa Melayu sepenuhnya: "Amalkan hubungan SEKS selamat. Gunakan KONDOM CEGAH AIDS." Selain itu, ada foto dua orang lelaki yang menyampaikan mesej, "Tak ada kondom, tak boleh main." (No Condom, No Play). Apa ini? Mengarut sungguh!

Kalau sudah pasangan suami isteri, secara logiknya harus selamat. Suami isteri telah tahu diri masing-masing selamat, malah menambah zuriat amat digalakkan oleh Islam. Hubungan seks yang tidak (pasti) selamat ialah yang dilakukan pasangan luar nikah.

Memang mengarut. Sudahlah hampir semua artis wanita yang ditampilkan termasuk beragama Islam tidak menutup aurat, ada pula sekeping dua foto yang boleh dianggap lucah. Contohnya, foto seorang lelaki yang berbogel menutup kemaluannya dengan sebiji botol. Simbolik dan sinis konon! Dalam doto yang lain, diletakkan koleksi beraneka kondom pada sebiji botol!

Bagaimana mahu mencegah HIV/AIDS, jauh sekali perzinaan jika foto yang dipaparkan ialah wanita dan lelaki seksi. Jehan Miskin pun tidak berbaju dengan coretan mesej pada tubuhnya.

Ternyata ini bukan kempen berunsur Islam. Ia adalah kempen retorik, palsu, kosong, dan langsung tidak dianjurkan oleh ajaran Islam. Namun, jika Marina Mahathir terlibat sama, fahamlah kita Islam atau tidaknya kempen tersebut. Masakan Marina mahu memasukkan unsur atau roh Islam dalam projeknya!

Jadi, kempen kesedaran yang menampilkan seni fotografi tersebut mengarut dan tidak akan mencapai matlamatnya. Menggalakkan penggunaan kondom, tetapi tidak mengajar, mendidik dan menghalang perzinaan adalah budaya songsang, dan bahaya. Sia-sia sahaja kempen dan pameran tersebut dianjurkan.

No comments

Powered by Blogger.