Kempen hangat dua PRK – faktor calon penentu kemenangan

Pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Dun Kerdau pada 6 Mac nanti sudah melalui suasana kempen hangat. Kehangatannya cukup terasa apabila isu calon mula diperdebatkan oleh pihak yang bertanding, pengundi dan penganalisis politik. Lantaran faktor calon sudah mendapat penarafan utama di dalam menilai peluang dan harapan menang parti bertanding. Turut menghangatkan lagi, apabila perjalanan kempen calon menjadi sentuhan media massa yang dikaitkan pula dengan ulasan pimpinan masing-masing parti yang bertanding.

Berbeza dengan pilihan raya umum, faktor calon bukanlah penentu yang kuat mempengaruhi kemenangan. Sedangkan dalam PRK, isu calon sering dikaitkan dengan motivational factor kepada pengundi, lebih-lebih lagi kepada pengundi atas pagar yang berupaya mencorakkan pola sokongan terapung sehingga mempopularkan seseorang calon mencapai kemenangan.

Calon popular

Pengalaman PAS dalam dua pilihan raya kecil terakhir di Kelantan, iaitu di Manek Urai dan Galas, calonnya dilihat bersaing rapat dengan calon Umno. Calon PAS menang di Manek Urai kerana popularitinya lebih tinggi di kalangan pengundi atas pagar. Berbeza di Galas, calon PAS ketinggalan berbanding calon Umno. Calon PAS di Menak Urai mendapat sokongan pengundi atas pagar mencecah 18 peratus daripada 30 peratus. Sementara di Galas, PAS hanya mampu meraih 5 peratus daripada 20 peratus pengundi atas pagar.

Dalam konteks Dun Merlimau, persaingan calon tertumpu kepada kohort umur yang berbeza selain daripada latar belakang parti dan pendekatan kempen calon. Dari segi umur, calon PAS, Haji Yuhaizad 38 tahun, enam tahun lebih muda berbanding calon Umno, Roslan 44 tahun. Yuhaizad adalah pimpinan muda bertaraf kanan dalam parti selaku timbalan yang dipertua kawasan. Sementara Roslan sudah melepasi usia muda dan hanya ahli jawatankuasa biasa bahagian. Justeru, calon PAS mempunyai potensi tinggi memenangi hati pengundi muda yang berjumlah 3,926 (36.76 peratus).

Apa pun dari segi pendekataan kempen, kedua-duanya memakai pendekatan yang seimbang. Namun kelebihan kempen calon Umno kerana kuat disokong oleh jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan, media perdana, jentera Kemas dan bahagian perisikan khas. Sedangkan kempen calon PAS seratus peratus dijayakan oleh jentera parti-parti Pakatan Rakyat.

Sementara di Dun Kerdau, calon PAS dan Umno nampaknya agak seimbang dari segi umur. Calon PAS, Hassanuddin 43 tahun dan calon Umno, Syed Ibrahim 44 tahun yang sudah terkeluar daripada kohort umur muda. Sementara dari segi kedudukan jawatan parti, calon PAS mempunyai kelebihan selaku ketua penerangan PAS negeri, sedangkan calon Umno adalah bertaraf pimpinan bahagian berjawatan naib ketua bahagian, namun lebih popular kerana berjawatan di Pejabat Menteri Besar Pahang.

Kempen calon

Apa pun dari segi pendekatan kempen calon di Kerdau, kedua-duanya bukan popular di kalangan pengundi muda yang berjumlah 3,491 (38.79 peratus). Justeru persaingan sebenar adalah kalangan pengundi atas pagar yang berjumlah kira-kira 1,600 orang. Berdasarkan sejarah PRK, jumlah pengundi atas pagar sering menjadi sasaran kempen. Maka keupayaan calon yang bertanding boleh merapati seramai mungkin pengundi atas pagar akan memastikan kemenangan. Dalam konteks ini, kempen calon Umno lebih berpotensi menang kerana prasarananya yang lengkap dan bersifat supportive ekoran penggunaan jentera kerajaan secara sepadu.

Dari situ, perjalanan kempen calon sudah berlaku di atas padang yang tidak sama rata (unlevel playing field), kerana jentera kempen calon PAS tidak disokong oleh sebarang jentera kerajaan. Realitinya, calon PAS dilihat menghadapi serba kekurangan dari segi menguasai pemikiran pengundi atas pagar. Tambahan pula latar sosiopolitik pengundi sering kali dipolakan oleh pengaruh media perdana, terutamanya televisyen dan surat khabar.

Walau pun demikian, berdasar kekuatan calon masing-masing, PAS dan Umno di Merlimau dan Kerdau masih bergantung kepada sejauh mana calon masing-masing dapat menguasai pengundi muda. Ini disebabkan sikap pengundi muda agak terbuka dan bermaklumat serta berkepentingan.

Pengundi muda

Pada pilihan raya umum 2008, di Dun Merlimau PAS mempunyai sokongan teras pengundi sekitar 36 peratus, tetapi calon PAS seorang yang lebih muda sudah tentu peluangnya lebih cerah berbanding calon Umno. Terutama di daerah mengundi campuran kaum seperti Pengkalan Samak dan Ayer Merbau, kerana pengundi mudanya lebih terbuka.

Keadaan seakan sama berlaku di Kerdau, pengundi muda di daerah mengundi perkampungan Melayu tradisi dan kawasan campuran kaum dilihat terbuka kepada calon PAS berbanding di kawasan Felda. Pada pilihan raya umum 2008, PAS meraih sekitar 38 peratus di Felda Jengka 23, berbanding 48 peratus di Desa Murni. Namun peluang PAS masih bergantung kepada kredibiliti calonnya yang dikatakan lebih berketrampilan berbanding calon Umno dalam konteks budaya politik pengundi muda.

Rumusannya, faktor calon adalah rangking tertinggi ke arah mencetuskan peluang dan potensi kemenangan kepada PAS-Pakatan Rakyat atau pun Umno-BN di Merlimau dan Kerdau. Jika PAS mengharapkan kemenangan, maka kempen calonnya perlulah merapati dan merayu seramai mungkin pengundi di Merlimau dan Kerdau.

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/03/kempen-hangat-dua-prk-faktor-calon.html

No comments

Powered by Blogger.