Kerajaan Mahasiswa UIAM Masih Tertangguh

Oleh Muhammad Hafizuddin

Sudah lebih kurang 2 minggu calon-calon yang bertanding untuk pemilihan MPP dalam pilihanraya kampus (PRK) UIAM meraikan kemenangan masing-masing. Kesyukuran yang diraikan tidak lain dan tidak bukan bersandarkan kepada keyakinan terhadap kuasa Allah yang memberikan kemenangan ini.

Setelah berlalunya AGM Stdents' Representative Council (SRC) sesi yang lepas, bermulalah pembubaran kerajaan pimpinan mahasiswa. Jangkaan terbentuknya kerajaan baru selepas PRK akhirnya tidak berhasil


Seolah-olah kemenangan wakil-wakil mahasiswa tidak diambil serius. Tradisi pengishtiharan kerajaan SRC yang baru pada kebiasaanya adalah melalui sistem syura yang akan dianjurkan oleh pihak pentadbiran.

Sangat dikesali apabila sehingga sekarang, masih tiada sebarang tindakan daripada pihak atasan untuk mengadakan proses syura tersebut. Ini bermaksud, sehingga hari ini bidang tugas pimpinan SRC hanya mampu berada dalam skop kuliyyah masing-masing. Kerajaan SRC masih lagi belum dibentuk dan tidak disahkan lagi.

Perlu ditegaskan di sini, mereka semua ahli MPP yang diberikan mandat oleh mahasiswa bukan melalui perlantikan oleh pihak pentadbiran. Oleh itu, amat memalukan andai perkara ini tidak diambil serius kerana mahasiswa UIAM tidak sama sekali bodoh.

Hal ini seolah-olah menyatakan bahawa PRK yang berlaku pada semester ini adalah tidak berfungsi. PRK dianjurkan hanya untuk menutup mulut-mulut mahasiswa yang menerima bulat-bulan apa yang berlaku. Cuti semester yang semakin hampir membuktikan bahawa peranan SRC tidak akan berjaya dilihat pada semester ini.

Rasional SRC perlu disahkan dalam masa yang cepat adalah kerana:

1. Mandat mahasiswa
2. Tempoh berkhidmat singkat
3. Penangguhan kerajaan mahasiswa terlalu lama

Sebarang alasan yang diberikan oleh pihak pentadbiran tidak sepatutnya menjadi penyebab utama atas kelembapan proses tersebut. Amanah dan tanggungjawab SRC untuk membawa suara mahasiswa tidak sepatutnya disekat atas alasan birokrasi dan sealirannya. Kondisi kehangatan PRK pada baru-baru ini seolah-olah terus membeku. Hal ini akan membantutkan kefahaman pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa.

Justeru, diharapkan pihak pentadbiran UIAM selaku pihak paling berkuasa dapat menyelesaikan masalah tersebut. Walaupun ianya masalah terpencil, namun impaknya amat besar. Mahasiswa UIAM masih tertunggu-tunggu di manakah pimpinan SRC yang dipilih oleh mereka.

WE UNITE FOR ISLAM

Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

No comments

Powered by Blogger.