Kesatuan guru desak siasat 14 buku teks penuh kesalahan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dituntut menyiasat penerbitan 14 buku teks dan aktiviti mengandungi pelbagai kesalahan, kata bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmud.

Beliau berkata, kes seumpama itu tidak pernah berlaku dan ia jelas memalukan kementerian yang diterajui seseorang bergelar Timbalan Perdana Menteri.

“Ini pertama kali dalam sejarah. Sungguh memalukan. Lebih malang lagi, ia berlaku ketika Kementerian Pelajaran dipimpin Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Selaku bekas guru, saya menuntut siasatan dibuat secara telus dan terbuka bagi memastikan kesilapan ini tidak berulang.

“Kalau sudah disiasat, dedahkan kepada umum hasilnya dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya yang menerajui KGMMB selama 16 tahun, kepada KeadilanDaily.

Beliau mengulas pendedahan Suara Keadilan 5 (versi cetak) mengenai 14 buku murid Tahun Satu sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang mengandungi kesalahan meliputi tata bahasa, ejaan, ilustrasi, susun atur, kosa kata dan struktur ayat.

11 buku teks ialah Bahasa Melayu untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Dunia Sains dan Teknologi, English Year SJK, Pendidikan Islam, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Moral, Bahasa Arab, Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan dan Bahasa Tamil SK.

Tiga buku aktiviti pula meliputi Bahasa Melayu, English dan Pendidikan Islam.

Kesal kerana kementerian itu ada dua timbalan menteri iaitu Datuk Dr Wee Ka Siong dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Nordin berpendapat, punca masalah itu ialah ketiadaan sistem tersusun dalam mengendalikan penerbitan buku teks.

“Kerajaan mesti insaf, akibat kecuaian mereka berjuta-juta wang rakyat terpaksa dikorbankan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga patut menyiasat hal ini jika berlakunya unsur rasuah dalam kes tersebut,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.