Rekod buruk Petronas mungkin babitkan aliran wang haram- Azan Ismail

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail melahirkan kebimbangan berlaku penyelewengan yang besar membabitkan Syarikat Petroliam Nasional (Petronas) dan kaitannya dengan aliran wang haram.

“Saya mengesyaki perkara ini dah lama. Saya bimbang berlaku penyelewengan Petronas, malah mungkin merupakan yang terbesar di dunia. Ini berdasarkan laporan Global Financial Integrity (GFI) yang mencatatkan kadar pengeluaran wang haram sebanyak RM888 bilion dalam tempoh 9 tahun.

“Perkara ini hanya berlaku pada industri besar seperti syarikat petroleum dan gas,” ujarnya kepada Keadilandaily.com

Beliau berkata demikian mengulas laporan bahawa petronas mencatatkan prestasi buruk dalam satu kajian antarabangsa mengenai ketelusan dan pendedahan awam yang membabitkan kajian ke atas 44 syarikat minyak dan gas seluruh dunia.

Menurutnya, sesebuah syarikat besar seperti Petronas yang turut menjalankan usahasama dengan syarikat luar, peluang untuk berlaku penyelewengan begitu mudah dengan berlakunya amalan ‘kickback’.

‘Kickback’ ialah satu istilah pembayaran rahsia secara haram yang dibuat untuk mendapatkan pulangan dalam sesuatu urusniaga atau kontrak.

“Misalnya kerjasama antara Petronas dan syarikat luar dalam kontrak carigali. Projek carigali lebih mudah dibuat dengan syarikat minyak besar seperti di Amerika.

“Katakan harga kontrak yang diletakkan adalah RM100 bilion, tetapi dinaikkan sehingga RM200 bilion. Lebihan RM100 bilion lagi dipulangkan kembali kepada syarikat tempatan yang ada kaitan dengan Umno. Ini dipanggil kick back. Kemudian syarikat ini akan kata berlaku kerugian dari segi tukaran mata wang asing dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut Azan, amalan tersebut memang biasa berlaku di mana-mana negara di seluruh dunia terutama dalam industri besar yang berkaitan petroleum dan gas.

Apatah lagi katanya, laporan kewangan Petronas tidak pernah didedahkan kepada umum dan hanya diserahkan kepada seorang individu iaitu Perdana Menteri.

Baru-baru ini, laporan Transparency International (TI) dan Revenue Watch Institute (RWI), Petronas menunjukkan prestasi buruk dalam tiga sektor kajian yang dijalankan.
Ia berhubung ‘laporan program anti-rasuah’, ‘pendedahan organisasi’ dan ‘pendedahan peringkat negara untuk operasi antarabangsa.’ Markah yang dicatatkan Petronas adalah 30, 38 dan kosong peratus, berbanding skor purata pada 43, 65 dan 16 peratus.

Petronas disenaraikan di bawah 25 peratus daripada 20 syarikat antarabangsa dan 24 syarikat minyak kebangsaan yang dikaji.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendedahkan skandal aliran keluar wang haram berjumlah RM888 bilion (AS$291 bilion) yang direkodkan sepanjang tahun 2000 dan 2008.

Berdasarkan laporan badan pengawas kewangan yang berpangkalan di AS, Global Financial Integrity (GFI) mencatatkan Malaysia berada di tempat kelima dalam senarai negara yang terlibat dalam aliran keluar wang haram sepanjang tempoh tersebut.

No comments

Powered by Blogger.