Selangor jamin kuota hartanah Bumiputera

SHAH ALAM: Kepentingan masyarakat Bumiputera tetap terpelihara walaupun kerajaan Selangor melaksanakan sistem pelepasan automatik kuota hartanah Bumiputera, kata Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Mekanisme pelepasan automatik kuota hartanah Bumiputera yang diumum kerajaan Selangor tidak akan menggadai kepentingan masyarakat Bumiputera,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka itu.

Ini kerana, Iskandar berkata, pemaju yang mahu berbuat demikian perlu memohon kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang perlu memaklumkan pemaju dalam masa tujuh hari bekerja bagi setiap permohonan.

“Ini hanya dilakukan jika pemaju masih tidak boleh menjual kuota Bumiputera enam bulan selepas mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan dan mesti mendapat kelulusan satu jawatankuasa khas,” kata Iskandar dalam kenyataan media, hari ini.

Pelepasan kuota hartanah bumiputera sebelum ini diputar belit media TV3 dengan mendakwa kerajaan Selangor ‘menghapuskan kuota perumahan Bumiputera’.

Iskandar berkata, Jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri selaku Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan dan akan memberi keputusan dalam masa 14 hari bekerja.

Beliau berkata, pemaju tidak boleh menjual kuota Bumiputera sewenang-wenangnya kerana perlu merujuk kepada kerajaan negeri manakala pelepasan automatik hanya diberi jika kerajaan negeri gagal memberi maklum balas mengikut tempoh.

“Pelepasan secara automatik untuk kuota Bumiputera boleh diberi apabila kemajuan projek di tapak sampai ke tahap 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.

“Pelepasan untuk tahap 50 peratus adalah 20 peratus, tahap 75 peratus adalah 30 peratus dan tahap 100 peratus adalah 30 peratus, semuanya dari baki kuota.

Katanya, mekanisme itu ditetapkan selepas perbincangan menyeluruh dengan pihak berkaitan, antaranya golongan Bumiputera, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, ahli akademik dan individu tersohor dilakukan.

No comments

Powered by Blogger.