Siapa pilihan pengundi Kerdau

Analisa oleh Hafis Baki

TEMERLOH, 5 Mac: Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum tamat tempoh berkempen kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno (Barisan Nasional) yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Menjelang hari terakhir, penyokong kedua-dua parti daripada luar kawasan mula tiba sejak semalam.

Kebetulan dengan cuti hujung minggu pengunjung semakin ramai membanjiri kawasan pilihan raya menjadikan jalan -jalan utama khususnya yang menempatkan bilik gerakan utama PAS dan BN mula sesak dengan deretan kenderaan.

Tidak ketinggalan bandar Temerloh yang terletak beberapa kilometer sahaja daripada kawasan pilihan raya telah sesak sejak tengahari ekoran pengunjung mengambil peluang merasai masakan ikan patin di situ.

Kehadiran dijangka semakin bertambah menjelang malam ini dan esok.

Sementara jentera kempen kedua-dua parti pula semakin aktif menjalankan kerja meraih undi yang hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi sebelum tempoh berkempen ditutup secara rasmi menjelang jam 12 malam ini.

Masing-masing menambah kekuatan hampir dua kali ganda berbanding beberapa hari pertama selepas penamaan calon.

PAS dilihat memberi tumpuan saat-saat akhir ke kawasan Felda yang dikatakan kubu kuat kepada BN.

Sejak pagi, kenderaan membawa perayu undi PAS dan Pakatan Rakyat salih berganti memasuki Felda meliputi Jengka 22, Jengka 23 dan jengka 25.

Majlis makan tengahari bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Jengka 23 hari ini dilihat salah satu sentuhan terakhir PAS mendapatkan semaksima mungkin undi para peneroka.

Malam tadi, Persatuan Anak - anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berjaya menubuhkan cawangannya di Jengka 25 iaitu satu-satunya kawasan Felda yang paling sukar ditembusi oleh PAS lemah dalam DUN Kerdau.

"Undi dari kawasan Felda boleh dikatakan penentu, sekiranya peneroka melakukan kejutan BN akan kecundang," kata Nizam Hamid yang mengetuai jentera Parti Keadilan Rakyat membantu PAS sepanjang hari berkempen.

Bagaimanapun BN dilaporkan mengarahkan petugas-petugasnya terus berkubu di rumah peneroka untuk menghalang kemaraan PAS.

PAS sebelum ini mendakwa BN meletakkan pengurus-pengurus Felda di setiap blok rumah dalam kawasan Felda untuk memantau setiap perkembangan yang berlaku.

Dalam pilihan raya umum lepas, ketiga-tiga tanah rancangan Felda itu menjadi penyumbang utama kemenangan BN mengatasi PAS dengan mejoriti 1698 undi.

Di Jengka 22, dalam PRU 2008, BN mengatasi PAS sebanyak 105 undi, Jengka 23 (101 undi) dan di Jengka 25 BN mengatasi PAS dengan mejoriti 233 undi.

Dalam pada itu, di pihak BN pula, kempen mereka masih diteruskan dengan program kenduri meraikan pengundi dibilik-bilik gerakan utama yang telah dimulakan sejak hari pertama berkempen lagi.

Perayu-perayu undi BN juga dilihat masih agresif di kampung-kampung tradisional yang mana kekuatan mereka dengan PAS boleh dikatakan hampir setara seperti Teluk Sentang, Pulau Pasir Mandi, Batu Sawar, Kuala Kerdau dan Desa Murni.

Seorang pemerhati, Mohd Saludin Omar meramalkan PAS boleh menang kali ini berdasarkan gerak kerja dan sambutan pengundi di kampung-kampung tradisional.

Saludin yang juga bekas wakil rakyat BN dari tahun 1974 hingga 1982, berkata, beliau sendiri dapat merasakan gelombang perubahan itu setelah beberapa hari membuat kajiannya sendiri.

'Tetapi ia masih bergantung kepada sogokan wang dan ugutan, kalau terlalu ketara pengundi dari kawasan kampung tradisional juga boleh berubah (memilih BN) katanya.

Menurut bekas wakil rakyat itu, penduduk kampung mahukan perubahan setelah terkongkong lama di bawah BN

“Saya mempunyai keluarga yang ramai di sini dari Desa Murni hinggalah ke Jenderak sampai seberang sungai dan ‘round’ rata jumpa mereka sempena PRK Kerdau ini, jelas mereka mahu menolak BN," katanya.

Sepanjang kempen bermula 26 Febuari lalu, PAS lebih memfokoskan isu-isu setempat sebagai senjata utama memenangi hati pengundi.

Pelbagai pendedahan yang membongkar kepincangan serta kelemahan urustadbir BN menjadi topik utama dalam ceramah-ceramah kelompok atau majlis penerangan sewaktu bertemu pengundi.

Strategi membawa media melihat bukti-bukti fizikal atas setiap dakwaan yang dikemukakan terhadap BN selain mengemukakan bukti-bukti bertulis turut dilihat sebagai strategi kempen yang berkesan dalam mempengaruhi pengundi.

Antara yang didedahkan oleh PAS ialah kemunduran Kerdau, pembaziran projek kuaters polis yang terbengkalai di pekan Kerdau, rumah terbengkalai di Paya Taram dan masalah air di beberapa kampung sepanjang Sungai Pahang.

Kelemahan urus tadbir kerajaan negeri yang turut memberi kesan langsung kepada rakyat Pahang dan isu melibatkan peneroka yang merupakan sebahagian besar pengundi Kerdau turut mewarnai kempen PAS selama sembilan hari ini.

BN pula mengambil pendekatan menyerang PAS atas isu lama berbentuk propoganda seperti digunakan dalam kempen di mana-mana PRK sebelum ini.

Antaranya PAS dituduh pengkhianat, pemecah belah orang Melayu dan digambarkan sebagai berbahaya kerana bekerja sama dengan DAP.

"Undi kebenaran, selamatkan Malaysia dan "Jangan undi harapan dan pembohongan," merupakan antara slogan kempen BN yang dipamerkan di bahu-bahu jalan.

Bagaimanapun BN kurang menggunakan isu pembangunan - satu isu yang mereka tidak dapat buktikan di Kerdau.

Di seluruh Kerdau terdapat dua sahaja papan tanda BN sebagai usaha untuk cuba mengambarkan kemajuan yang telah di bawa iaitu sebuah Sekolah Menengah Integrasi dan sebuah klinik desa.

Selain itu, isu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut digunakan oleh BN menjelang hari-hari terakhir berkempen dengan menampilkan personaliti seperti Ezam Mohd Nor dan Ummi Hafilda dalam ceremah-ceramah yang dianjurkan.

No comments

Powered by Blogger.