Tiada helah, ugutan dapatkan sampel DNA Anwar

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tidak ada sebarang helah, pujukan, ugutan atau janji dibuat bagi mendapatkan empat sampel dari lokap tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman pada 16 Julai 2008.

Sehubungan itu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan berkata, mahkamah perlu menerima kesemua sampel tersebut sebagai barang kes dalam perbicaraan kes liwat Anwar, serta menolak permohonan pembelaan untuk tidak dimasukkan kerana ia didakwa diperoleh secara tidak sah.

“Anwar tidak diperdaya agar menggunakan berus gigi dan tuala atau minum air mineral tersebut. Selain itu, tidak ada sebarang pujukan, ugutan atau tekanan dilakukan terhadapnya ketika dia berada dalam lokap,” katanya ketika berhujah di akhir prosiding bicara dalam bicara hari ini.

Beliau berkata jika keputusan mahkamah memihak kepada pendakwaan, dua saksinya iaitu ahli kimia Nor Aidora Saedon dan bekas ketua makmal forensic Polis Diraja Malaysia Cheras DSP Amidon Anan, perlu dipanggil semula untuk proses mengemuka serta menanda keempat-empat barang kes sebagai “P” (barang kes pendakwaan).

Barang kes berkenaan ialah ubat gigi, berus gigi, tuala Good Morning dan sebotol air mineral yang diambil Amidon dari lokap tersebut, yang kemudian disahkan oleh Nor Aidora mengandungi profil DNA milik ‘‘lelaki Y’’, yang air maninya ditemui pada dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohamed Yusof yang merujuk lebih 10 prinsip undang-undang nasional dan antarabangsa berkata, walaupun mempunyai budi bicara untuk tidak memasukkan bukti yang diperoleh secara tidak sah, mahkamah tidak boleh berbuat demikian jika ia relevan terhadap kes.

Beliau juga berkata penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 adalah sah kerana pegawai yang membuat tangkapan, iaitu DSP Ahmad Taufik Abdullah, telah berbuat demikian ketika beliau menyerahkan waran tangkap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) pada kira-kira 2 petang hari berkenaan, sebelum kenyataan tertuduh dirakam pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira.

“Anwar sendiri mengakui telah menandatangani satu dokumen yang diberikan kepadanya oleh DSP Ahmad Taufik pada hari tersebut, yang jelas menyebut dia ditahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu berhubung kesalahan liwat,” katanya.

Mohamed Yusof berkata mahkamah tidak mempunyai sebab untuk menolak keterangan saksi pendakwaan itu kerana beliau ditugaskan menahan Anwar oleh pegawai atasannya, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin.

Katanya, walaupun polis diberi kuasa menahan mana-mana individu tidak melebihi 24 jam tanpa memberikan sebarang sebab, namun dalam kes ini, Anwar dan peguamnya S.N.Nair telah dimaklumkan mengenai alasan penahanan.

“Polis telah mematuhi semua undang-undang berkaitan, dan Anwar dimaklumkan mengenai sebab dia ditahan sebaik dibawa ke IPK KL oleh DSP Ahmad Taufik, diikuti oleh DSP Judy, jadi dakwaan tertuduh dan Nair yang mereka tidak diberitahu adalah tidak benar,” katanya.

Mohamed Yusof juga berkata dalam kes ini, penahanan Anwar dilakukan selepas pengadu menjalani pemeriksaan kesihatan, diikuti pengumpulan sampel sebelum disahkan menerusi ujian DNA.

“Kami memperoleh waran tangkap pada 15 Julai 2008, dan dalam keadaan biasa, suspek akan dimasukkan ke lokap terlebih dahulu sebelum disiasat,” katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sementara itu, peguam Karpal Singh berhujah mahkamah perlu membenarkan permohonan pembelaan untuk tidak memasukkan sampel berkenaan dalam perbicaraan kes liwat kerana mengikut Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), seseorang yang ditahan perlu dimaklumkan sebabnya, namun dalam kes Anwar, perkara tersebut tidak dilakukan.

Karpal berkata keterangan Ahmad Taufik perlu dipadam kerana saksi itu hanya bergantung kepada salinan waran tangkap yang merupakan keterangan sekunder.

Beliau berkata mahkamah juga perlu menolak dokumen itu serta keterangan lisan Ahmad Taufik kerana ia tidak memenuhi keperluan KPJ.

Katanya, penahanan Anwar adalah tidak sah kerana sebelum itu, tertuduh telah mengaturkan dengan DSP Jude untuk berada di IPK KL pada 2 petang, namun sepasukan polis komando telah menahannya terlebih dahulu iaitu sekitar 12.30 tengah hari.

“Di sini, (Anwar) ada masa hampir sejam setengah sebelum janji temu tersebut, jadi tindakan polis adalah tidak wajar dan keterlaluan,” katanya.

Karpal juga berkata DSP Jude dan anggota polis yang bertugas pada hari kejadian sepatutnya dipanggil sebagai saksi bagi menyangkal keterangan bersumpah Anwar, Nair dan R. Sivarasa.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan pendakwaan bagi memanggil semula Ahmad Taufik untuk mengemukakan waran tangkap asal.

Mohamed Yusof berkata dokumen itu tersalah letak dan Ahmad Taufik telah pun menemui salinan asalnya.Karpal pula berhujah ini merupakan prosiding kes jenayah dan pendakwaan sepatutnya mengemukakan dokumen tersebut semasa perbicaraan.

Selain itu, beliau berkata hari ini telah ditetapkan untuk penggulungan hujah dan mahkamah patut meneruskannya Karpal akan menjawab hujah Mohamed Yusoff esok sebelum Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah membuat keputusan. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.