6,532 Video Fitnah Lucah Dijumpai

BANDAR BARU SELAYANG 18 Mei – Sejumlah 6,532 video cakera padat (VCD) dikaitkan dengan aksi seks mirip pemimpin pembangkang ditemui semasa Majlis Munajat Umat Tolak Fitnah, Solat Hajat dan Ceramah diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), 14 Mei lalu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib berkata, jumlah tersebut adalah yang berjaya dirampas semasa program itu, belum termasuk yang sudah terlepas ke tangan orang ramai.

“Kita kecewa dengan insiden itu sedangkan program dijalankan adalah solat hajat untuk menolak fitnah,” katanya semasa sidang media berkaitan diadakan di Pejabat Pas Kawasan di sini.

Hadir sama dalam program berkenaan, Timbalan Ketua PKR Cabang Selayang, Asri Buang; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, Rahimi Ibrahim dan Pemuda Pas Kawasan Mohd Fauzan Madzlan.

Zaidy berkata, perbuatan disifatkan permainan sabotaj pihak politik tertentu di negeri ini itu dipertikaikan dan dilakukan sewenang-wenangnya dengan edaran video seks di tempat awam dalam versi penuh.

“Kita minta polis dapat respon perkara ini dan kita sanggup bekerjasama dengan polis dalam perkara ini.

“Ini memandangkan kita ada maklumat mengenai kenderaan yang digunakan oleh pihak tertentu bertanggungjawab mengedarkan bahan berkenaan. Kita mahu polis beri amaran keras kepada pengedar terbabit,” katanya.

Menurut Zaidy, pihaknya kini sedang meneliti fakta kes itu memandangkan pada malam kejadian sama, pihaknya mendapat laporan akhbar ‘Selangor Terkini’ diedarkan dalam satu program anjuran parti politik di surau kampung berhampiran.

Katanya, sekiranya fakta kes diterimanya mencukupi, pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan tertentu bertanggungjawab.

Terdahulu, ribuan risalah dan CD untuk diedarkan kepada orang ramai diletakkan hadapan pintu masuk stadium mengandungi gambar dalam video terbabit oleh pihak tertentu 14 Mei lalu.

Bagaimanapun cubaan anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Unit Amal untuk menangkap sekumpulan pemuda disyaki membuat edaran bahan terbabit, bagaimanapun gagal kerana mereka sempat melarikan diri.

Laporan polis dibuat AMK dan Unit Amal di Balai Polis Selayang sekitar jam 1.30 pagi selepas program munajat berkenaan selesai.

No comments

Powered by Blogger.