Anwar mahu panel bebas kerajaan Selangor pantau MRT

Oleh Yow Hong Chieh


AMPANG, 5 Mei – Kerajaan Selangor sewajarnya mengadakan panel bebas untuk menyelia projek Transit Rapid Massa (MRT) Lembah Klang dan mengelakkan peningkatan kos akibat amalan kronisme, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar (gambar), yang juga penasihat ekonomi Selangor berkata, panel seumpama itu boleh memastikan perbelanjaan persekutuan ke atas projek MRT dioptimumkan demi manfaat rakyat dan tidak memasukkan kos-kos yang tidak perlu akibat kronisme selepas pentadbiran Najib menganugerahkannya kepada MMC-Gamuda.

Malah kata beliau, panel yang disyorkan itu juga boleh memastikan pentadbiran persekutuan Barisan Nasional (BN) mengambil kira maklum balas kerajaan negeri Selangor.

Anwar berkata kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk memantau projek ini memandangkan Selangor akan menjadi ‘hos’ bagi sebahagian besar laluan MRT dan melibatkan proses pengambilalihan tanah.

“Tidak adil jika orang ramai menderita apabila kos pengangkutan harian ini digunakan sebagai alasan untuk pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan daripada dana awam,” kata beliau pada forum ekonomi di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.

Forum Anwar kali ini bertajuk “Pengangkutan Di Lembah Klang: Penambahbaikan dan Cabaran”.

Kos awal projek itu dianggarkan RM36 bilion, tetapi tidak membabitkan kos tanah.

Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB), pemilik perkhidmatan itu juga belum memuktamadkan pembiayaan dan fi bagi pengurus projek bagi MRT walaupun perancangan telah dimulakan bagi kerja-kerja kejuruteraan sivil awam, yang dijangka bermula November ini.

Perkhidmatan MRT ini merupakan projek infrastruktur dan projek Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) terbesar di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Projek ini dijangka menjana 130,000 peluang pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang.

No comments

Powered by Blogger.