Kristian-Islam: Blogger pro-Umno terus kecam ‘Bigdog’, gesa minta maaf

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ekoran pendedahan provokasi yang didedahkan melalui blog “Bigdog”, penulis blog itu terus dikecam hebat oleh beberapa blog pro-Umno yang tidak bersetuju dengan laporan yang dikeluarkan itu.

Malah blog-blog pro-Umno ini juga menyifatkan penulis blogger “Bigdog” sebagai bongkak kerana enggan mengakui kesalahan dan meminta maaf.

Penulis blog “Bigdog” melalui entri bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan kumpulan Kristian.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

“Untuk kontroversi terbaru ini bukan orang Melayu, Cina dan India sahaja, malah semua rakyat Malaysia mesti bangun mendesak dia menarik semula kenyataan ‘Kristian Sebagai Agama Rasmi Negara?, yang kononnya didesak oleh sekumpulan paderi dan pemimpin DAP agar Kristian dijadikan agama rami negara.

“Pandangan blogger ini telah dikeluarkan di muka hadapan Utusan Malaysia, tiada bukti, tiada fakta... hanya sekeping gambar dikeluarkan. Mungkin ramai yang keliru dengan status blogger ini,” kata kata blogger “Gelombang-Rakyat”.

Tambah penulis blog itu, tindakan “Bigdog” itu akan menjatuhkan imej dan kepimpinan negara.

“Kenapa perlu nyatakan yang palsu? Tindakan Bigdog ini bukan sahaja menjatuhkan imej kepimpinan negara, malah boleh mencetuskan perpecahan perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama.

“Lebih pelik, ia hanya sekadar rekaan semata-mata. Sebenarnya ini yang dinamakan mainan politik dan tidak mustahil Bigdog akan terus melaksanakan strategi-strategi begini,” katanya.

Sementara itu blogger “Gelombangwangsamaju” bersetuju blogger “Bigdog” ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mencetuskan provokasi yang menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

“Saya memang bersetuju, ISA sahaja, blogger pro-kerajaan yang memalukan BN dengan membangkitkan isu sehingga menggugat ketenteraman awam dan bakal menyebabkan perbalahan antara agama,” katanya.

Sementara itu blogger “Papa Gomo”, menyifatkan tuduhan palsu yang dilemparkan “Bigdog” bukan sahaja menjatuhkan imej negara tetapi kesannya turut diterima blogger pro-Umno yang lain.

“Kalau sudah salah mengaku sahaja, tidak perlu nak bongkak sangat... akibat dari tindakan anda ini telah mengakibatkan Malaysia jadi kecoh dan ketenteraman awam tergugat malah kesannya turut mencalar imej kami blogger pro-Umno yang lain.

“Kenapa nak bongkak sangat? Kerana dia, semua blogger terima tempias, isu yang dibawa Bigdog ini kesan kecelakaannya amat besar dan tidak ada guna nak simpan blogger macam ini.

“Bukan sekali dia merosakkan kerajaan malah sudah berpuluh-puluh kali... cukup-cukuplah elok anda duduk diam dan keluarkan permohonan maaf, tidak perlu keluarkan kenyataan yang bongkak dan angkuh,” katanya.

Awal pagi tadi The Malaysian Insider melaporkan blogger “Bigdog” mempertahankan tulisannya dan enggan membuat permohonan maaf atas laporan yang disifatkan sebagai fitnah.

“Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

“Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan,” kata penulis blog “Bigdog” kepada The Malaysian Insider.

No comments

Powered by Blogger.