PKR dakwa KDN bantu Umno rampas Selangor

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mewakili seluruh pimpinan Keadilan Selangor mendedahkan bahawa pihaknya telah berjaya mengesan bahawa seramai 2,000 orang warga asing didakwa telah disenaraikan oleh Umno Bahagian Hulu Selangor untuk tujuan proses pertukaran status kerakyatan, dengan mendapat bantuan penuh dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelas, katanya taktik kotor itu bertujuan untuk memanipulasi undi agar dapat membantu Umno merampas semula Selangor pada PRU13 kelak.

“Saya yakin, ini hanya salah satu bukti dari beratus-ratus taktik kotor Datuk Seri Najib Razak dan Umno Selangor yang telah dirancang,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi PKR Selangor dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, beliau juga yakin bahawa kerjasama dari pihak rakyat dalam menyalurkan maklumat penyelewangan seperti ini membuktikan suatu penolakan besar-besaran dari pihak rakyat sendiri terhadap dasar kepimpinan Najib.

Katanya, Najib selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor kini seharusnya lebih gentar dan berhati-hati kerana senario politik dan ritma kehendak rakyat kini sudah lebih matang dan tidak lagi mampu diperbodohkan dakyah media yang berat sebelah lagi.

Tambahnya, taktik Umno menggunakan media untuk menjatuhkan imej pimpinan dan Pakatan Rakyat nampaknya sudah gagal.

“Saya menyarankan agar mulai hari ini supaya Datuk Seri Najib bersedia kerana kami barisan pimpinan Keadilan Selangor akan mendedahkan lebih banyak bukti penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Umno selepas ini,” ujarnya yang juga ahli parlimen Ampang.

No comments

Powered by Blogger.