PAS: Bukan Islam boleh jadi PM, Perlembagaan tak halang

PAS: Bukan Islam boleh jadi PM, Perlembagaan tak halang

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Naib Presiden PAS Mahfuz Omar berkata partinya tidak akan membantah bukan Islam menjadi perdana menteri memandangkan perkara tersebut dibolehkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun kata beliau, adalah mustahil bukan Muslim boleh menerajui kerajaan memandangkan umat Islam masih merupakan majoriti negara ini.

“Perlembagaan tidak menghalang bukan Islam dari menjadi perdana menteri. Ini bukan soal PAS. PAS tidak boleh menghalang Perlembagaan, tetapi ia tidak akan berlaku kerana majoriti semasa kami miliki,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Kata Mahfuz, “soalnya perkara ini boleh berlakukah?”

“Tidak boleh, sebab DAP tanding di kerusi MCA dan kalau menang, menang di kerusi orang Cina.

“Begitu juga kerusi Melayu, PAS lawan Umno, kalau PAS kalah Umno akan menang, kalau Umno kalah PAS akan menang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

“Jadi tidak timbul (perdana menteri bukan Islam) selagi jumlah majoriti memihak kepada orang Islam,” jelas beliau.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi masalah jika perdana menteri itu seorang beragama Kristian.

Dompok menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.

“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak, lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.

“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,” katanya.

Tambah Mahfuz, ekoran pandangan terbuka Dompok itu beliau mahu Umno menyatakan pendirian dalam perkara itu.

“Apa sikap Umno terhadap Bernard Dompok? Saya nasihatkan pemimpin Umno mesti bercakap secara fakta (soal perdana menteri bukan Islam),” katanya.

Mengenai laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi? Sabtu lalu, Mahfuz berkata Umno-Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup memainkan isu perkauman dan agama.

Selain itu, kata beliau, Umno menggunakan Utusan Malaysia untuk memburukkan DAP, namun ia menyebabkan rakyat terutamanya orang Cina lebih memihak kepada Pakatan Rakyat berbanding BN.

“Saya ucap terima kasih kepada Umno kerana tolong DAP, Umno bekerja untuk DAP.

“Umno gunakan Utusan Malaysia untuk memperkukuhkan politik DAP dan secara tidak langsung memperkecilkan MCA dan Umno telah berjaya mengurangkan kuasa MCA,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.