PKR dakwa Umno konspirasi jadikan rakyat asing jadi pengundi

PETALING JAYA, 10 Mei — PKR hari ini mendedahkan satu dokumen yang mendakwa Umno berkonspirasi menukar status pemastautin tetap rakyat asing bagi membolehkan mereka memperoleh kerakyatan bertaraf penuh, yang jumlahnya melibatkan 2,000, bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan ketua PKR Selangor Zuraida Kamaruddin memberitahu sidang media hari ini bahawa satu permohonan bertarikh 23 Mac 2011 telah dihantar ke pejabat Datuk Seri Hishammuddin Hussein, untuk mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri itu bagi mengubah sttaus 2,000 pekerja asing yang kini memiliki status pemastautin tetap.

“Ia diserahkan kepada satu agensi pekerja asing bagi tujuan pemprosesan permohonan itu,” kata beliau.

Salinan permohonan itu, menurut Zuraida, yang diberikan kepada beliau oleh seorang kakitangan awam Jumaat lalu, diedarkan kepada wakil media pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Permohonan itu, yang bertajuk “Pilihan Raya Umum ke-13 - Memerlukan Permohonan Mendapatkan Taraf Kerakyatan Bagi Kawasan Parlimen Hulu Selangor”, menggunakan kepala surat Umno Hulu Selangor Umno dan ditandatangani oleh ketuanya Datuk Idris Abu Bakar.

Dokumen itu mendedahkan bahawa parti tersebut telah mengenal pasti dan mengesahkan senarai bakal pengundi dengan status pemastautin tetap yang boleh membantu BN di Hulu Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bersama ialah senarai nama mereka yang boleh menjadi pengundi di Hulu Selangor dan kami telah mengadakan tapisan ketat ke atas setiap individu bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang tuduhan jenayah atau dadah atau mengikuti kumpulan bahaya atau ajaran sesat.

“Mereka terdiri daripada pelajar dan usahawan, dan mereka boleh membantu negara menjadi lebih maju, dan tambahan pula boleh membantu BN menang di setiap pilihan raya terutama dalam pilihan raya umum ke-13.

“Dengan ini, diharapkan Datuk Seri boleh memberikan kelulusan awam agar kami dapat meneruskan permohonan dengan lancar,” kata surat itu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, surat itu satu bukti jelas BN sedia menggunakan “apa sahaja senjata” yang ada untuk merampas balik Selangor daripada Pakatan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.