Teressa Kok : Ambil Tindakan Tegas Penggugat Keharmonian Kaum Dan Agama

SHAH ALAM 9 Mei - Sebagai menteri yang bertanggungjawab Hishamuddin dan Rais sepatutnya seharusnya serta-merta mengarahkan polis untuk menyiasat Utusan Malaysia serta kedua-dua blogger di bawah Akta Hasutan sejak dahulu lagi kerana Utusan Malaysia sudah berkali-kali menerbitkan laporan berita dan komentari yang menggugat keharmonian etnik dan agama di Malaysia, tegas Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Teressa Kok.

“Saya merasa amat kesal terhadap reaksi Menteri Dalam Negeri Hishamuddin dan Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Rais Yatim kerana menerima laporan palsu Utusan Malaysia yang bertajuk “Malaysia negara Kristian?” tanpa menyoal dan mengesahkan kesahihan laporan tersebut terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Teressa laporan tersebut berfitnah bahawa DAP dan para penganut agama Kristian berhasrat menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Laporan itu adalah palsu, tidak berasas dan berpandukan fitnah dua orang blogger penyokong UMNO yang mempunyai niat jahat mengapi-apikan perasaan takut, benci dan syak wasangka, terutamanya di kalangan penganut agama Islam terhadap penganut agama Kristian.

Lebih mengecewakan lagi, Hishamuddin dan Rais tidak mengutuk akhbar Utusan Malaysia atau cuba menenteramkan keadaan hening ini tetapi sebaliknya mengeluarkan amaran kepada orang awam agar jangan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Tindakan tersebut menunjukkan bahawa mereka jelas berat sebelah terhadap Utusan Malaysia dan menyokong laporan mereka tanpa sebarang siasatan.

Namun begitu, sehingga kini Utusan Malaysia yang dimiliki UMNO itu tidak pernah dikenakan sebarang tindakan atau hukuman oleh pihak kementerian. Utusan Malaysia seolah-olah memegang lesen untuk menerbitkan apa jua yang diingini. Profesionalisma dan etika kewartawanan boleh diabaikan.

“Saya percaya UMNO menggunakan akhbar Utusan Malaysia sebagai senjata untuk menghasut orang Melayu demi mengukuhkan kedudukan UMNO di mata orang Melayu. Perbuatan ini amat keji dan berbahaya kerana Malaysia merupakan negara majmuk. Oleh itu, saya menggesa Hishamuddin dan Rais agar menunjukkan keikhlasan mereka terhadap konsep 1 Malaysia dan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Utusan Malaysia,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.