UMNO mesti diperbetulkan dulu sebelum pilihanraya - Dr Mahathir jemu dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO

Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang isu agama dan tuntutan-tuntutan yang datang dari semua pihak itu adalah kerana kerajaan Persekutuan yang lemah. Kalau kerajaan Persekutuan kita kuat, tidak akan timbul isu-isu yang tidak munasabah seperti yang kita dengar sekarang. Kerajaan yang lemah merupakan ‘breeding ground’ yang sangat subur untuk elemen-elemen buruk wujud dan amat mudah bagi mereka yang opportunis untuk mengambil kesempatan memainkan isu-isu yang merbahaya.

Dr Mahathir berkata dia sudah jemu dengan pemimpin UMNO yang hanya mementingkan kekayaan, APs serta memperjuangkan untuk anak-anak dan menantu semata-mata. Selain dari itu pemimpin-pemimpin sekarang hanya mementingkan gelaran dan pangkat. Sebab-sebab ini lah yang mendorong ahli-ahli UMNO sendiri mengundi parti pembangkang di dalam pilihanraya yang lalu. Dalam pilihanraya yang lalu lebih dari 1.5 juta ahli UMNO mengundi parti pembangkang.

Masalahnya ahli-ahli UMNO tidak ada lagi kesetiaan kepada parti mereka semata-mata kerana tidak dapat kehendak hati. Dr Mahathir telah bercakap benar yang ahli-ahi UMNO tidak mempunyai sifat juang yang tinggi dan memilih untuk memberi laluan kepada pembangkang. Saya yakin apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu benar kerana pengalaman beliau sendiri.

Dr Mahathir sendiri kalau kita ingat telah meninggalkan partinya semata-mata kerana marahkan Abdullah Badawi dan menyeru pengundi untuk memilih calun dan bukannya memilih parti. Beliau telah keluar parti pada penghujung tahun 2007 sebelum pilihanraya umum 2008. Beliau mempunyai saham besar di dalam menjatuhkan BN di beberapa buah negeri dalam pilihanraya itu.

Tidak ada siapa yang mengkritik beliau dengan kelakuan yang tidak membawa faedah kepada parti itu kerana beliau adalah Dr Mahathir. Kalau Dr Mahathir buat salah ianya tetap benar. Kalau manusia jembel seperti tuan-tuan dan saya mengkritik parti sendiri dengan niat untuk kebaikan parti itu adalah kerja salah dan wajar dimaki dan dihamun.

Pendeknya saya percaya kepada pandangan Dr Mahathir yang boleh menjahanamkan UMNO itu adalah pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri. Dalam perbilangan orang-orang tua dahulu ada disebutkan apa yang dikatakan ‘mati bawa najat’. Jika benci dengan seseorang dalam parti itu, biarlah parti itu terkubur pun tak mengapa. Dalam berbilangan yang moden sedikit ianya disebut sebagai’ kerana nyamuk seekor dua kelambu dibakar’. Dr Mahathir telah membakar kelambu yang besar kerana marah kepada nyamuk: bukan nyamuk aedes atau nyamuk tiruk, tetapi nyamuk yang dinamakan Abdullah Badawi dan menantunya Khairy.

Kadang-kadang saya yakin dengan kata-kata Dr Mahathir yang ‘Melayu mudah lupa’. Ini disebabkan pengalaman beliau sendiri yang selalu lupa dengan apa yang beliau katakan dan yang diperlakukannya sendiri. Beliau selalu mengambil keputusan kerana masalah peribadi dengan seseorang. He did immoral politics for moral reasons.

Tetapi tidak mengapa, sekarang beliau serius nampaknya untuk melihat UMNO kembali berjaya. Tidak seperti dalam pilihanraya yang lalu. Pilihanraya lalu keadaannya berlainan kerana Abdullah Badawi yang dibencinya masih ada. Tetapi dalam pilihanraya sekarang Abdullah sudah tiada dan Dr Mahathir minta kita pilih parti. Dalam pilihanraya yang berikutnya nanti, kita belum lagi tahu samada beliau meminta kita mengundi calun atau parti.

Hendak marah-marah dengan beliau pun tak boleh kerana beliau adalah Dr Mahathir. Mengkritik dasar beliau itu adalah satu dosa besar. Cukup-cukuplah kita membuat dosa kerana mengkritik Dr Mahathir ini. Kalau kita kritik juga alamat kita akan dimaki dan di hamun oleh ‘foot soldiers’ fanatik beliau yang masih ada saki bakinya. Penyokong-penyokong beliau garang-garang. ‘Tak selamat hidup jika kita menegur pemimpin mereka ini’

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/05/umno-mesti-diperbetulkan-dulu-dr.html

No comments

Powered by Blogger.