Universiti Sintok Bergelora HeHeHe

Kedah tolak sambung rebat cukai tanah UUM


BALING, 5 Mei — Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menolak permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyambung rebat cukai tanah universiti itu, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Justeru kata Azizan, pihak universiti perlu menjelaskan bayaran pada kadar lama sebanyak RM1.7 juta atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

“Rayuan buat dah, tapi PTG tak setuju, jadi kena bayar secepat mungkin (RM1.7 juta) atau boleh kena penalti sehingga RM90,000 lebih atau tanah kampus boleh dirampas,” katanya di sini.

Dipetik laporan Bernama, kadar cukai sebanyak RM0.20 bagi setiap kaki persegi tanah UUM jauh lebih rendah berbanding cukai yang dikenakan terhadap universiti lain, misalnya Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang yang dikenakan sebanyak RM2.50 bagi setiap kaki persegi.

“Universiti Teknologi Mara pun bayar RM0.50 bagi satu kaki persegi... jadi UUM mampu nak bayar banyak tu dan kalau mereka tak mahu bayar, kerajaan negeri akan rugi kira-kira RM1.6 juta setahun,” katanya.

Pertengahan April lalu, UUM menerusi Bendaharinya telah menghantar surat kepada PTG untuk mendapatkan rebat bagi cukai tanah untuk tempoh lima tahun setelah tempoh rebat terdahulu tamat pada 2008.

Azizan kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta Pengarah PTG Negeri untuk memberi pandangan sama ada rebat yang diberikan kepada UUM sebelum ini selama dua tahun perlu disambung atau tidak.

Sepanjang tempoh rebat diberikan, UUM hanya membayar RM150,000 bagi cukai tanah universiti itu.

No comments

Powered by Blogger.