Kenyataan Al-Mursyidul Am PAS Ekoran Penangkapan Datuk Seri Tuan Guru Presiden Dan Pimpinan-pimpinan Tertinggi PAS Dan PR

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/268974_2223323223338_1255443856_32605707_4716915_n.jpg

Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya-allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden Pas dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih pada hari ini.

Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang. Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap UMNO.

Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden UMNO. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun? Bukankah Presiden UMNO baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti.

UMNO barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa. Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman UMNO yang dilakukan pada hari ini.

Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. UMNO pasti akan jatuh tersemban juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.

Dicatat pada : 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan), 9 Julai 2011.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.