Pakatan: Bebaskan semua tahanan, tarik balik haram Bersih 2.0

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pakatan Rakyat menggesa Putrajaya harus melepaskan semua tahanan yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti Bersih 2.0 serta menarik balik semua bentuk pengharaman terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk kemeja-T.

Selain itu, tegas pemimpin Pakatan Rakyat, enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat, juga perlu dilepaskan.

Tindakan harus dibuat ekoran titah Yang di-Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0, diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Selain itu, kata pemimpin Pakatan Rakyat, langkah Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa pemandu Bersih termasuk pengerusi Datuk Ambiga Sreenevasan membuktikan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan pertubuhan haram seperti mana yang didakwa Kementerian Dalam Negeri.

“Ya, sepatutnya apabila Yang di-Pertuan Agong telah bertitah dan memberi pandangan baginda dalam isu ini dan baginda tidak mengatakan Bersih adalah pertubuhan haram malah baginda juga meminta kerajaan sedia ada menyelesaikan perkara ini secara baik.

“Kalau Bersih ini pertubuhan haram, mengapa Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan berunding untuk mencari jalan penyelesaian? Malah baginda juga perkenan untuk membenarkan Bersih menghadap baginda untuk berbincang.

“Jadi atas hujah ini tidak timbul Bersih adalah pertubuhan haram atau sebagainya dan apa jua tindakan yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri dan polis sangat bertentangan dengan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kepada The Malaysian Insider.

Oleh itu, tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu semua mereka yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta dan semua pengharaman yang dibuat ke atas Bersih harus ditarik balik.

“Sesiapa sahaja yang ditahan dalam isu Bersih ini harus dibebaskan serta-merta kerana ia bertentangan dengan hasrat dan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Malah semua pengharaman termasuk kemeja-T Bersih 2.0 juga harus ditarik balik,” katanya.

Minggu lalu Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara.

Lebih 200 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan telah ditahan. Polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih 2.0.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda.

Malah Yang di-Pertuan Agong bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

Semalam, Bersih 2.0 mengumumkan perhimpunan akan diadakan di stadium seperti mana yang dicadangkan kerajaan.

Menurut Ambiga, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Naib Presiden PKR N. Surendran berkata Putrajaya sepatutnya secara serta-merta membebaskan kesemua individu yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti Bersih 2.0.

Selain itu, tegas beliau, semua pengharaman terhadap Bersih 2.0 termasuk kemeja-T harus ditarik balik.

“Pandangan saya jelas semua mereka yang ditahan termasuk enam yang ditahan di bawah Ordinan Darurat mesti dilepaskan dengan serta-merta kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mengatakan Bersih dan Himpunan Bersih 2.0 adalah haram.

“Sepatutnya selepas titah Yang di-Pertuan Agong kerajaan harus membebaskan mereka semua dan semua pengharaman termasuk baju Bersih 2.0 ditarik balik malah ia dibenarkan dipakai secara terbuka,” katanya.

Tambah peguam hak asasi itu, namun sehingga kini Putrajata melalui Kementerian Dalam Negeri polis masih belum membebaskan semua tahanan sambil menyifatkan “melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.”

“Sekarang Himpunan Bersih 2.0 akan dibuat di stadium, sepatutnya polis dan Kementerian Dalam Negeri melepaskan semua tahanan, tarik balik pengharaman dan ia jelas dalam mesej yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong tapi mereka enggan ikut.

“Yang paling penting adalah titah Yang di-Pertuan Agong, baginda tidak kata Bersih 2.0 ini pertubuhan haram... Agong kata ia harus diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menyerahkan keputusan kepada polis untuk menentukan nasib kesemua individu yang ditahan.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.