Reduan Tee: Bersih dalam kotor!

Sinar Harian 4 Jul 2011

Seperti yang saya sebut dalam program Bicara Rakyat, secara langsung TV1, Jumaat lalu, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat melalui pelbagai saluran. Tidak salah berdemonstrasi kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan. Asas demokrasi adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Tetapi satu perkara kita harus ingat, jika kebebasan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka demonstrasi perlu difikirkan kembali. Apakah sudah tidak ada altenatif lain pada zaman globalisasi ini dalam menyuarakan pendapat selain berdemonstrasi?

Kenapa tidak dibuat demonstrasi tersebut secara tertutup seperti di stadium? Kenapa harus di jalanan? Adakah suara demonstrasi di kawasan tertutup tidak didengari? Pada saya, di mana jua demonstrasi diadakan, impaknya pasti ada, tidak semestinya di jalanan. Tempat yang paling sesuai untuk berdemo adalah di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, berhampiran Kuala Lumpur. Bandaraya Kuala Lumpur tidak sesuai disebabkan oleh kepadatan dan kesesakan yang telah sedia ada.

Saya masih teringat minggu lalu ketika berlangsungnya acara Kuala Lumpur Marathon 2011, bermula dari jam 5.30, apabila sesetengah jalan ditutup, kesesakan jalan raya amat dirasai. Kebetulan saya berada di dalam bas ketika itu daripada Pulau Pinang. Lebih satu jam bas berlegar-legar di sekitar bandaraya kerana pemandu tidak dapat menurunkan penumpang. Akhirnya saya turun sahaja di tepi jalan untuk balik ke rumah sebagai persiapan untuk memberi ceramah motivasi di Memorial Tun Hussein Onn, pada jam 10.30 pagi. Ceramah motivasi tertunda kerana semua peserta terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam hati saya berkata, ”ini baru Marathon, bayangkan jika demonstrasi Bersih menjadi kenyataan”.

Saya cadangkan jika Marathon yang sama hendak diadakan tahun hadapan, cukuplah sekadar mengelilingi Tasik Perdana (Botani) berkali-kali, tidak perlulah menutup banyak jalan sehingga berlaku kesesakan dan menyusahkan rakyat. Masa dan tenaga (termasuk petrol) banyak terbuang. Tidakkah masa yang terbuang itu lebih sesuai dimanfatkan untuk anak isteri di rumah. Bayangkan juga, tenaga petrol yang digunakan akibat kesesakan. Jika dikumpulkan semua tenaga yang terbazir dan disedekahkan kepada fakir miskin dan ibu tunggal, bukankah banyak pahala yang dapat kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Lagi pula terdapat begitu banyak tempat strategik yang lain seperti Stadium Melawati, Shah Alam atau mungkin juga Bukit Jalil, kenapa Bersih masih berdegil untuk berada di tengah Bandaraya Kuala Lumpur? Saya yakin, mereka tahu, jika dibuat di luar Kuala Lumpur, sambutannya sudah pasti tidak memberansangkan.

Mereka tidak mahu melihat seolah-olah demonstrasi tidak ada orang. Maka untuk melihat ramai, medan orang ramai digunakan. Dengan harapan, dengan berada di sana bersama orang ramai, mereka akan kelihatan ramai. Maka tercapailah hasrat untuk menghimpun ratusan ribu orang. Wal hal yang datang tidak seberapa. Inilah laba politik yang ingin dicapai. Mereka mahu memperlihatkan demonstrasi tersebut benar-benar mendapat sambutan, walaupun hakikat sebenar tidaklah sedemikian.

Saya amat mengharapkan Perkasa, Pemuda Umno dan Pertubuhan Silat Melayu, yang semuanya umat Islam yang ingin turun sama berdemonstrasi, tidak bersikap seperti mereka. Apa bezanya kita jika sama seperti mereka. Dua kali lima sahaja. Amat hina sekali melihat pertembungan sesama umat Islam. Biarlah kumpulan ini ditangani oleh polis dan tentera.

Kita selalu membandingkan situasi kita dengan demonstrasi di di Thailand. Politik di sana berbeza dengan negara kita. Thailand adalah negara sebangsa, budaya dan cara hidup mereka sama. Begitu juga di Indonesia. Mereka hanya ada dua kumpulan, pro dan anti kerajaan. Berbanding kita, kita adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama, budaya dan cara hidup. Politik kepartian amat kuat dan ekstrem. Parti politik berasaskan bangsa. Keadaan kita jauh lebih kompleks. Sudah pasti dalam banyak perkara kita tidak sehati sejiwa. Apakah kita tidak menjangka ada orang yang akan mengambil kesempatan. Wahai umat Islam! Janganlah mudah untuk diperalatkan.

Tidakkah kita terfikir dengan banyaknya perbezaan ini, ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan kita dengan melakukan pelbagai provokrasi. Mereka mahu kita berantakan, kerana itu adalah salah satu perancangan mereka. Kita selalu menuding jari kepada polis yang melakukan provokasi. Saya yakin di luar sana masih ramai kafir harbi yang sedang menunggu kesempatan.

Cuba buat perbandingan, sedangkan perhimpunan sukan secara tertutup pun pergaduhan berlaku macam seolah-olah tidak kenal saudara. Inikan pula perhimpunan terbuka. Masihkah kita ingat siri perlawanan bola sepak di antara pasukan negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan Selangor. Kerusi stadium, trak polis dibakar dan macam-macam lagi perkara menyedihkan berlaku, termasuk kematian akibat balingan botol (Stadium Melawati). Kekecohan ini juga berlaku di hadapan tok guru. Bayangkan jika yang memimpin demonstrasi ini begitu jauh sifatnya dengan tok guru. Beliau bukan sahaja tidak ada status tok guru, malahan sikap anti Islamnya begitu terserlah ketika menjadi memimpin Majlis Peguam.

Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh panelis PAS dalam Bicara Rakyat tempoh hari, apakah jaminan perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana dan keadaan aman? Siapakah yang boleh memberi jaminan tersebut? Apakah pemimpin Bersih begitu berwibawa boleh mengawal manusia yang katakan bilangannya begitu ramai? Bagaimana pula jika ada kalangan mereka yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan pergaduhan? Minta maaf cakap, dalam keadaan masyarakat yang terlalu banyak perbezaannya, saya tidak percaya bahawa semuanya anggota Bersih yang turun akan bertindak seperti malaikat?

Kumpulan yang mengambil kesempatan berada di mana-mana, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk mencetuskan pergaduhan. Janganlah terlalu menuding jari kepada polis. Bayangkan jika bukan polis yang mengawal keselamatan dan kesesakan jalan raya. Apa akan jadi dengan bandaraya ini.

Wahai Islam, jangan mudah tertipu dan akhirnya kita akan ditipu. Lagipun beliau bukan ahli politik. Jika masalah daftar pemilih pilihan raya yang menjadi isu utama. Yang sepatutnya lebih sensitif adalah parti-parti politik kerana mereka yang akan bertanding. Bukannya NGO seperti yang didakwa. Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti? Beliau cuma mahu mencari publisiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Kesempatan ini digunakan untuk mempopularkan dirinya. Jangan terpedaya dengan permainan silap mata ini.

Perkembangan terbaharu meyakinkan lagi saya mengapa kumpulan ultra kiasu ini harus ditolak dan tidak boleh dipercayai dan ditolak. Walaupun isu yang saya bangkitkan agak sedikit lari daripada tajuk, tetapi ia mempunyai kaitan rapat dalam menilai integriti atau meletakkan kepercayaan terhadap seseorang. Saya tidak nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi bukan diketuai oleh ultra kiasu ini. Tuhan sahaja yang tahu sama ada mereka benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Sudah tidak ada orang Islam lainkah yang boleh dijadikan pengantara atau rujukan? Atau sekurang-kurang carilah bukan Melayu yang begitu memahami jiwa, sensitiviti dan perasaan umat Melayu Islam? Janganlah berketuakan pengantara yang pernah menghina dan menginjak-injak Islam. Lina murtad Lina Joey dan penghinaan terhadap mahkamah syariah masih terngiang-ngiang di telinga dan amat sukar dipadamkan dalam lipatan sejarah.

Apatah lagi, saya cukup sedih apabila kehadiran 12 wakil rakyat parti ultra kiasu yang tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada Upacara Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17. Tindakan ini boleh disifatkan sebagai ‘kurang ajar’ kerana tidak menghormati majlis. Memang benar, pakaian rasmi tidak diwajibkan, mematuhi etika pemakaian pada upacara berkenaan secara zahirnya menunjukkan seseorang itu menghormati negeri, ketuany aserta DUN itu sendiri.Tindakan, tabiat dan tingkah laku ini boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja negeri mereka berada.

Jelas dan terang, pemakaian songkok pula bukan simbol agama, masyarakat di India pun pakai songkok walaupun mereka bukan Muslim.Songkok hanya melengkapkan pakaian seragam. Parti ultra kiasu sama ada di Semenanjung Sabah dan Sarawak telah lama mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia menafikan kebebasan beragama di samping membazir wang rakyat. Berapa sen sangatlah harga songkok dan baju Melayu berbanding dengan harga pakaian barat yang dibanggakan itu? Di Indonesia berapa ramai orang Kristian yang memakai songkok. Kenapa mereka begitu selesa sedangkan kita terlalu sensitif. Sebenarnya, kita terlalu memandang rendah kepada bangsa lain. Kita tidak mahu dipandang rendah sama. Tidakkah lebih baik kita lebih memahami Melayu daripada Mat Salleh?

Kenapa kita boleh begitu berlagak dan berbangga dengan pakaian barat blazer, jacket, dan tie tetapi, bila ada konotasi dengan Melayu kita memandang hina. Adakah ini wajar? Bila orang Melayu memakai pakaian Cina, kita seronok. Kenapa kita tidak ‘raikan’ Melayu dengan memakai pakaian Melayu. Adakah ‘budaya Melayu’ ini begitu hina?Kita begitu berbangga dengan pakaian skirt yang begitu pendek sehingga ternampak yang tersurat dan tersirat. Tetapi memandang hina pakaian yang ada konotasi dengan Islam.

Kenapa kita terlalu obses dengan bangsa yang begitu jauh dengan kita, sedangkan bangsa yang terdekat dan merupakan penduduk induk di negara ini tidak dipandang endah, malah dihina lagi? Tidakkah semua agama menganjurkan pakaitan yang bersopan? Dari mana datangnya sumber memakai yang seksi-seksi ini jika bukan dari barat? Hina sungguh kita. Sanggup ketepikan budaya masyarakat tempatan kerana terlalu obses dengan barat. Sanggup ketepikan bahasa kebangsaan, kerana terlalu mengejarkan bahasa Inggeris. Adakah tindakan ini wajar dan mampu menjamin keluhuran pembangunan sebuah negara bangsa?

Pelik sungguh, bila tiada kepentingan, mereka begitu angkuh. Namun, bila ada kepentingan, misalnya penerimaan anugerah bintang dan pingat, kumpulan muka tidak tahu malu ini, tidak segan-segan mula mengenakan ‘pakaianMelayu’.

Berasaskan kepada hujah-hujah ini, apakah kita boleh menaruh kepercayaan kepada Bersih? Tidak. Sebenarnya mereka adalah bersih dalam kotor. Nampak suci tetapi berdebu. Pada saya, selagi mana mereka tidak hormat budaya bangsa induk negara ini, selagi itulah golongan ini tidak boleh dipercayai. Mereka ini ibarat duri dalam daging atau api dalam sekam. Sentiasa mencari kesempatan atau menangguh di air yang keroh.

Saya tidak yakin demonstrasi Bersih ini akan menjadi kenyataan jika tidak disokong oleh umat Islam. Mereka tidak akan berani mengangkat muka pun jika kita tidak bersama mereka. Kenapa mereka begitu bongkak? Jawapannya, amat mudah, kerana mereka tahu, kita tidak sehati sejiwa, kita berpecah, kita terlalu mabuk kuasa, kita sanggup menabur pasir di periuk saudara sendiri, kita menikam sesama sendiri dan terlalu banyak kelemahan kita.

Peluang keemasan sebegini mungkin mereka tidak akan dapat pada masa akan datang, maka kelemahan umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuh untuk mendapatkan apa yang selama ini dicita-citakan. Moga dijauhkan Allah SWT daripada perancangan jahat dan licik sebegini. Wahai umat Islam! kita sudah tidak ada banyak masa, bangunlah, buka mata dan buka minda, sebelum terlambat atau nasi menjadi bubur. Yakinlah, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa cara juga yang digunakan, bubur tidak akan menjadi nasi semula. Ketika itu orang lain sudah menjadi terlalu berkuasa. Mereka mempunyai rakan-rakan sebangsa yang begitu ramai di luar sana yang sedang ternanti-nanti untuk masuk ke dalam wilayah atau kawasan kita.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

1 comment

Putra IJ80 said...

quote"Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti?"unquote

Ok sblum NGO menjadi target dlm isu nie.

Siapa yg.berani menyatakan bahawa SPR bertindak menyebelahi UMNO(BN)?

Daftar pengundi yg.di tokok tambah,dan terbukti begitu.

Rasuah dlm Pilihan Raya terutama PRK/PRN.

Jelas yg melakukan dari kalangan Pemimpin nya?

Knpe Raduan Tee atau yg.lain X berani bersuara,Segala kemungkaran di lakukan secara bleluasa,

Mengapa Diam.

Bila ini smue berlaku,baru nak besuara dan menyalahkan org.lain.

Jangan kita celik mata tapi BUTA HATI.

Gua n saudara di Kmpg.Abu Bakar Baginda, malu mengaku bsaudara dgn lur.

Powered by Blogger.