Bukit Kepong: Mat Sabu didakwa esok

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 20 Sept — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan didakwa di Mahkamah Seksyen Butterworth esok berhubung ucapannya yang menyokong Ahmad Indera atau Mat Indera dan tragedi berdarah Bukit Kepong.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, peguam Mohamad, Mohamad Hanipa Maidin berkata anak guamnya telah dimaklumkan pihak polis mengenai perkara itu dan akan didakwa dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

“Ya...ya... saya dimaklumkan begitu... Mat Sabu (Mohamad) akan didakwa di Mahkamah Seksyen Butterworth esok pagi, sekitar pukul 9 pagi.

“Saya dan Mat Sabu akan hadir,” katanya.

Mohamad telah mencetuskan kontroversi apabila didakwa menyokong komunis melalui Mat Indera dalam satu ucapannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia pada 27 Ogos melaporkan Mohamad berkata Mat Indera adalah wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong dan bukan anggota polis yang mempertahankan balai polis daripada serangan komunis yang diketuai sendiri oleh Mat Indera.

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pewaris anggota polis Bukit Kepong yang terkorban dalam kejadian berdarah itu.

Jika sabit kesalahan, Mohamad boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara, denda atau kedua-dua sekali.

No comments

Powered by Blogger.