Tuduhan Penyelewengan Dana Adalah Satu Penghinaan Kepada Penjawat Awam Selangor

Amanah rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan kami bekerja keras untuk memastikan amanah rakyat dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh tanggung jawab.

Justeru itu, kami memandang serius tuduhan seorang bekas menteri; Md Zin kononnya baki peruntukan penyelenggaraan pada 2009 berjumlah RM55 juta telah dilesapkan Kerajaan Negeri. Tuduhan liar ini bertujuan untuk mencalar kewibawaan dan kredibiliti Kerajaan Negeri. Lebih dari itu, kita merasakan tuduhan ini turut menghina penjawat awam yang telah bekerja keras bagi memastikan dana negeri diurus dengan baik dan profesional.

Justeru, saya telah memanggil Pegawai Kewangan Negeri, Bendahari Negeri, Juruaudit Persekutuan dan Juruaudit Negeri, Jurunilai Jabatan Kerjaraya dan beberapa akauntan kanan bagi mengutarakan serangan yang cuba dikenakan terhadap mereka serta pegawai kerajaan secara amnya.

Saya telah dimaklumkan bahawa, perjalanan kewangan di Negeri Selangor berdasarkan Pekeliling Perbendaraan yang digunakan pakai di seluruh Malaysia. Pada 27 Februari 1993, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara telah memutuskan mulai 1994, semua Kerajaan Negeri hendaklah mewujudkan satu Kumpulan Wang Amalah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri yang mana semua pemberian ini dicarum terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah tersebut dan semua perbelanjaan direkodkan.

Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri dengan kod perakaunan 60002 bagi mengakaunkan terimaan dan bayaran pemberiaan Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Justeru, penggunaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Arahan Amanah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri.

Pada 2009, Kerajaan Negeri menerima RM315,627,905.00 Peruntukan Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan dengan purata terimaan RM26 juta sebulan.

Sejumlah RM328,751,219.30 telah digunakan pada 2009 iaitu pembayaran terus melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri berjumlah RM78,751,219.30 dan pindahan kepada Akaun Hasil Disatukan Penyelenggaraan Negeri Selangor berjumlah RM250 juta.

Baki Akaun Amanah Penyelenggaran Jalan-jalan Negeri pada 1 Januari 2009 ialah RM67,533,879.91 dan baki pada 31 Disember 2009 adalah RM54,410,565.61. Baki ini kemudian dibawa ke tahun 2010. (rujuk lampiran disediakan).

Perincian ini jelas menunjukkan perjalanan dana ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan Negara. Malah, perjalanan dana ini di Negeri Selangor telah diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2009 dan sepatutnya tidak dipertikaikan lagi.

Sebagai bekas menteri, Md Zin sepatutnya tidak membuat tuduhan melulu tanpa membuat sedikit kajian tentang perjalanan perakaunan negeri. Jelas beliau sememangnya tiada langsung pengetahuan asas dalam perakaunan. Kedangkalan pengetahuan beliau dan ditambah pula dengan tujuan politik, beliau telah memperkecilkan kebolehan penjawat awam menjalankan tugas untuk memastikan dana diurus dengan baik.

Ini merupakan kali terakhir Kerajaan Negeri memberi penjelasan tentang perkara ini. Jika ada lagi tuduhan penyelewengan melibatkan dana kerajaan tanpa bukti sahih, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh dan media yang sewenang-wenangnya menyiarkan tuduhan itu.

TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.