ADUN Galas Dikebumikan Awal Pagi Ini

GUA MUSANG: Jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 46, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kerinting, di sini, awal pagi ini.

Che Hashim meninggal dunia di Hospital Al-Islam, Kampung Baru Kuala Lumpur pukul 4.30 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital itu sejak tujuh hari lepas akibat barah usus yang dialaminya lebih setahun lalu.

Sebaik jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pukul 12 tengah malam tadi, ia terus dibawa ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk disembahyangkan dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jenazah itu kemudian dibawa ke rumah isteri pertama Allahyarham, Che Bongsu Yunus, 49, di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kampung Kerinting sebelum dikebumikan pada pukul 1 pagi.

Seorang lagi isteri Allahyarham ialah Aida Zakaria.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas setelahmenewaskan calon Barisan Nasional Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi apabilabeliau memperoleh 4,399 undi manakala Mohamad Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, semasa ditemui di masjid Tengku Muhammad Faiz Petra berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen berkaitan kematian Adun Galah itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin.

"Tengoklah kalau dapat sijil kematian Allahyarham esok (hari ini) kita segerakan berbuat demikian bagi mengistiharkan kekosongan kerusi DUN Galas," katanya. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.