Kajian media: Komplot dalaman Umno kekal kuasa ancaman besar kestabilan negara

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13, laporan terbaru The Economist Intelligence Unit mendakwa komplot dalaman Umno dan nekad parti pemerintah untuk kekal berkuasa dengan menggunakan apa jua cara merupakan ancaman besar kepada kestabilan politik di Malaysia.

Laporan itu mengenai Malaysia juga mengesyorkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memperlihatkan peningkatan kerusi dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi tidak mungkin akan memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Kestabilan Malaysia sepanjang lima dekad lalu bergantung pada tiga faktor utama iaitu penguasaan mantap Barisan Nasional (BN), kawalan ketat Umno ke atas perikatan ini dan sokongan majoriti Melayu terhadap parti dominasi BN itu, kata laporan edisi keluaran Oktober itu.

Bagaimanapun menurut laporan itu, faktor-faktor itu bukan sesuatu yang kekal berterusan, lebih-lebih lagi selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008 dan kejayaan bersejarah PR dalam menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen.

“Pilihan raya umum 2008 menunjukkan ketiga-tiga faktor itu menjadi lemah.

“Ekorannya, kuasa-kuasa ini kemungkinan tidak membolehkan rangka kerja politik negara kekal seperti biasa sepanjang 2010-2-14,” kata laporan itu lagi.

Mandat semasa kerajaan hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi ramai menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan awal tahun depan.

Oleh itu jelas laporan itu, komplot politik dalam Umno sendiri dan ditambah dengan kesungguhan untuk kekal dalam kuasa menerusi apa jua cara akan menjadi ancaman kepada kestabilan politik negara ini.

BN mahu memperoleh kembali kerusi majoriti di Parlimen dan menawan negeri-negeri yang jatuh khususnya Selangor.

Puak-puak dalam Umno mula kelihatan muncul dalam usaha menentukan hala tuju parti itu sejak kebelakangan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno melahirkan tekad untuk memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan mesra pasaran.

Bagaimanapun Najib berhadapan dengan tekanan dan bantahan daripada elemen-elemen konservatif dari dalam Umno dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah Najib yang juga Pengerusi BN berhadapan dengan bantahan dalam usahanya memperkenalkan Model Baru Ekonomi, khususnya daripada Perkasa yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali.

Najib dijadual memperkenalkan laporan kedua model itu bulan depan bersama Bajet 2011.

Selain itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan pendirian-pendirian yang dilihat boleh menjejaskan usaha Najib memperkenalkan pembaharuan dasar.

The Economist Intelligent Unit juga menekankan bahawa BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan Umno tidak boleh lagi mengharapkan sokongan orang Melayu daripada golongan “berpendidikan tinggi, liberal dan kelas pertengahan” yang memihak sokongan kepada pembangkang.

Malah menurut laporan itu, kemungkinan keputusan pilihan raya akan memperlihatkan lebih banyak kehilangan kerusi di pihak BN, memandangkan pengundi Melayu berpendirian sederhana yang kecewa dengan siri skandal politik selain tindakan Umno begitu agresif memperkenalkan nilai-nilai Islam, tidak akan memberikan sokongan mereka.

Katanya, pengundi-pengundi Cina dan India kekal enggan kembali ke pangkuan BN. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.