Dr Khir mahu saman ekor dikaji semula

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berharap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melihat semula isu saman ekor ini.

Katanya, saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuan punca utama kemalangan jalan raya.

"Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata," katanya dalam blognya.

Kempen anti saman ekor ini dilancarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar beberapa bulan lalu kerana berpendapat ia tidak adil kepada pemandu kenderaan.

Dr Khir berkata usaha menyenaraihitamkan mereka yang mempunyai saman ekor tertunggak ditangguhkan sehingga awal tahun depan mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah.

Tahun depan, katanya masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang lagi.

"Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?" katanya.

Dr Mohd Khir berkata, saman ekor merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan had laju kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguatkuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya.

Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

"Saya percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereka yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai.

"Banyak kes mereka yang tidak bersalah mendapati telah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya," katanya.

Dr Mohd Khir menambah. masalah bertambah serius apabila mereka yang disaman tidak mengetahui saman tersebut sehingga beberapa bulan dan ada juga yang memakan masa beberapa tahun.

Ini bukan sahaja menyebabkan ia tertunggak malah menafikan peluang pembelaan. Jika kesalahan enam bulan lalu, baru diketahui hari ini, bagaimanakah mereka yang disaman mahu mempertahankan diri?

Katanya, ada juga yang hanya mengetahui mempunyai saman ekor yang dilakukan pada tahun lalu atau beberapa tahun lalu.

"Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di sebatang jalan di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

"Maka untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta ini terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti. Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguatkuasa kerja senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

"Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin mendesak agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak," katanya.

Sehubungan itu, bekas menteri besar Selangor itu menyarankan saman ekor yang dikeluarkan hendaklah sampai kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh kesalahan tersebut.

Saman hendaklah disampaikan mengikut kaedah dan peraturan penyampaian sapina atau saman mahkamah.

Beliau berkata, saman ekor yang dikeluarkan hendaklah disertakan bukti bergambar secara otomatik tanpa sebarang bayaran.

Kaedah sekarang yang memerlukan mereka yang kena saman membuat permohonan dan dikenakan bayaran harus dihapuskan.

Adalah menjadi tanggungjawab penguatkuasa membuktikan bahawa mereka yang disaman telah melakukan kesalahan bukan sebaliknya. Konsep seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dipraktikkan.

"Jumlah kompaun hendaklah mengikut lebihan KM berbanding had laju bukannya pukul rata sehingga tiada beza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam.

"Ini wajar kerana dari segi risiko kemalangan juga berbeza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam biarpun kedua-duanya melanggar had laju yang ditetapkan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.