JPP Batal Keputusan Pemilihan Cabang Jika Menyeleweng

SHAH ALAM 30 Sept - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan mana-mana keputusan pemilihan peringkat cabang sekiranya didapati proses pemilihan telah dicemari atau terbukti perlakuan intimidasi dan perbuatan ganas yang mempengaruhi perjalanannya.

Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi untuk mencadangkan tindakan memecat ahli parti yang didapati terlibat dalam kekacauan atau menghalang perjalanan lancar pemilihan atau terbabit dalam aktiviti yang ditegah seperti membeli undi.

"Dalam membuat keputusan kami akan mempertimbangkan laporan dari ahli dan juga kakitangan sekretariat dan sukarelawan parti yang telah melaksanakan proses pemilihan atas arahan JPP.

"Kami menyeru mana-mana ahli yang ada aduan berhubung perjalanan pemilihan pada peringkat cabang supaya mengemukakannya kepada JPP samada secara rasmi agar perhatian sewajarnya diberi. Individu yang tidak berpuas hati terhadap proses pemilihan disarankan menggunakan saluran ini dan tidak membuat dakwaan di dalam media terhadap JPP atau sekretariat KEADILAN," kata Dr Molly dalam satu kenyataan Selasa lalu.

Beliau berkata 166 cabang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh dua minggu lalu dan berpuas hati kebanyakan daripada MATC berjalan lancar dan teratur.

No comments

Powered by Blogger.